Saturday, 16 March 2013

GEGAR ANJUR GERAKAN TANAH MILIK RAKYAT






KOTA KINABALU : Kumpulan Anak Muda GEGAR, tampil untuk menyatakan pendirian berhubung isu pencerobohan Lahad Datu yang berlangsung sejak 12 Febuari lalu sehingga ke hari ini, 16 Mac 2013.

Pencerobohan ini telah mengorbankan nyawa anggota keselamatan kita seramai 9 orang dan penceroboh seramai 57 orang.

Pasukan keselamatan kita telah sedaya upaya menangani isu pencerobohan ini dan Anak Muda merakamkan jutaan penghargaan kepada anggota keselamatan yang terlibat secara langsung dalam memastikan keamanan di negeri ini, khususnya Lahad Datu.

Bagaimanapun, isu pencerobohan di Lahad Datu ini sedikit sebanyak telah menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat di negeri Sabah.

Pada masa yang sama, terdapat pihak yang cuba mengeksploitasi isu ini sebagai suatu isu perkauman.

GEGAR mendapat beberapa maklumat berhubung tindakan pihak tertentu yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat Sabah sehingga menimbulkan perasaan musykil dan syak dalam kalangan masyarakat. 

Perkembangan ini pada hemat anak muda adalah suatu perkembangan yang tidak sihat, bahkan akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.
Selain itu, anak muda juga mengikuti perkembangan media hari ini sama ada daripada media sosial seperti Facebook dan Twitter, media-media alternatif mahupun media utama.

Semacam timbul kekeliruan dengan apa yang dilaporkan dengan media Filipina. Anak muda tidak memposisikan kesalahan ini kepada media, tetapi anak muda mahukan perkembangan yang dilaporkan adalah telus dan tidak bercanggah kerana sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan.

Justeru, Anak Muda ingin menyatakan pendirian kami berhubung isu Lahad Datu ini :

1) Menyeru semua pihak daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan bangsa untuk terus mengekalkan perpaduan di kalangan masyarakat di negeri ini bagi menjaga keharmonian yang telah lama kita kecapi. Segala fitnah yang dilemparkan bertujuan mengapi-apikan kaum perlu ditangkis dan dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Kami di peringkat Anak Muda sangat cintakan perpaduan kaum seperti mana yang telah kita kecapi sehingga ke hari ini.

2) Menyeru kepada keseluruhan masyarakat Sabah agar tidak berasa takut untuk mempertahankan negeri kita daripada sebarang bentuk pencerobohan. Ayuh kita pertahankan kedaulatan negeri dan negara kita daripada pencerobohan pihak luar. ‘Kita bukan memerangi orang sulu, sebaliknya menolak pencerobohan’.

3) Menyeru media melaporkan perkembangan sebenar mengenai isu Lahad Datu dengan melaporkan kenyataan media asing seperti media negara jiran iaitu Filipina dan media negara kita. Hal ini penting, agar rakyat cakna tentang pendirian dan perkembangan kedua-dua negara.

4) Menyeru agar rakyat seluruhnya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bumi Sabah daripada sebarang ancaman keselamatan.

Selain itu, Anak Muda juga tidak mahu ketinggalan dalam membantu masyarakat bagi memperolehi maklumat sebenar berhubung isu ini.

Justeru, GEGAR selaku sebuah kumpulan Anak Muda melancarkan satu Gerakan Pemantauan Media di mana GEGAR memposisikan anak muda dalam isu ini dengan memantau perkembangan media sama ada dalam, mahupun luar negara untuk diberikan kepada masyarakat secara berkala. Ia penting pada hemat GEGAR bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat sebenar.

Selain itu, GEGAR juga mengumumkan satu talian 'hotline' bertujuan memudahkan masyarakat berhubung secara terus dengan anak muda sekiranya ingin melaporkan sebarang perkembangan di Lahad Datu mahupun di tempat-tempat lain berhubung isu pencerobohan.

Di peringkat Anak Muda, kita sedia membantu sebagai perantara maklumat antara masyarakat dan pihak keselamatan. Hal ini penting bagi memastikan masyarakat tidak berada dalam ketakutan walau dimana sahaja mereka berada.

Hotline ini juga boleh digunakan untuk mengadu sebarang masalah dan kita juga bersedia membantu termasuk menjadi perantara bagi menyelesaikan masalah yang diajukan.

Di samping isu Pencerobohan Lahad Datu ini, GEGAR juga tidak melupakan tuntutan yang digagaskan dan dijadikan tapak untuk GEGAR bergerak sebelum ini. Antaranya isu berkaitan tanah.

GEGAR kali ini mengambil inisiatif untuk menggerakkan rakyat bagi menyokong dan mendokong perjuangan Tanah Adat di Negeri Sabah yang dikenali sebagai Gerakan Tanah Milik Rakyat.

Sehubungan itu, GEGAR akan tampil dengan Suara Rakyat Sabah (SRS) bagi mengepalai Gerakan Tanah Milik Rakyat. SRS merancang untuk membetuk gerakan di setiap kawasan yang menghadapi masalah tanah di negeri Sabah ini.

Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan, kita akan menganjurkan satu lagi perhimpunan besar-besaran untuk Gerakan Tanah Milik Rakyat ini pada bulan April kelak.

Justeru, Anak Muda berharap dengan sedikit bantuan dan seruan ini akan dapat membantu masyarakat di negeri ini. Anak Muda sekali lagi merakamkan jutaan penghargaan kepada para anggota keselamatan yang telah berhempas pulas menjaga keselamatan negeri ini.

No comments:

Post a Comment