Saturday, 16 March 2013

JANGAN LINDUNGI PATI DAN PENGGANAS






Oleh:ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA : Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir Tun Sakaran menggesa semua penduduk tidak melindungi mana-mana individu yang tidak dikenali dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan yang sedang memburu saki-baki pengganas sempena Operasi Daulat di kawasan Lahad Datu dan Semporna.

Katanya, walaupun ada kaitan keluarga, mereka (penduduk) wajib melaporkan kepada pihak polis dengan berhubung terus kepada mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mengetahui kehadiran individu yang tidak dikenali ataupun penceroboh dan pengganas durjana.

Katanya, dalam hal ehwal keselamatan pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan sesiapapun demi menjamin keselamatan, kemakmuran dan keamanan rakyat serta negara ini.

Nasir berkata demikian sempena melakukan Ziarah Rakyat & Majlis Bersama Rakyat di Kampung Bubul Laut Kg.Bulingisan dan Kg.Keramat.

Hadir sama sempena itu Pemimpin UPKR Dun Senallang, Hj.Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna Kawasan Senallang, OKK Hj.Musa Sabaani; Penolong Pegawai Pembangunan Daerah (ADDO), Hj.Abdullah Sukka, Pegawai Perhubungan Adun Senallang, Hj.Zainal Jalaludin dan Skuad Gerakhas DUN Senallang.

Nasir berkata, selama ini kehidupan kita aman,makmur dan selamat sehingga kerajaan dapat membangun serta melaksana pelbagai program serta kemajuan dalam bandar dan luar bandar tanpa mengira suku kaum, anutan agama mahupun ideologi politik.

Dalam masa sama segenap penjuru perairan dan pintu masuk ke negara ini dikawal rapi pihak keselamatan namun tiba-tiba kita dikejutkan oleh insiden pencerobohan di Tanduo Lahad Datu dan diikuti insiden Kg.Sri Jaya dan Kg.Simunul, Semporna.

Nasir kesal, dengan insiden yg berlaku di Semporna sehingga mengorbankan anggota keselamatan dengan kejam.

Sehubungan itu Dato Sri Nasir, meminta segenap lapisan rakyat bersatupadu dan mengukuhkan hubungan kasih sayang sebagai teras utama mempertahankan kedaulatan negara ini.

"Yakinlah dengan pasukan keselamatan kita yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan negara," kata Nasir.

Katanya, anggota keselamatan kini sedang memburu saki baki pengganas dan penceroboh yang menggelarkan diri mereka Tentera Sulu.

Sempena majlis Ziarah Rakyat dan MBR itu, Dato Sri Nasir menyampaikan sumbangan peribadai dan Kad Pengesanan Pengundian kepada pengundi-pengundi.

No comments:

Post a Comment