SIDANG
MEDIA....OCPD ACP Rowell Marong sedang memberi taklimat kepada Ampong dalam
sesi sidang media di IPD Sandakan
Oleh : SHAIMON S JUMADI
SANDAKAN : Ketua Bahagian
UMNO Sandakan, Tan Sri Haji Ampong KK Hj
Puyon, merasa sedih dan kecewa
apabila ada sesetengah pihak yang memperlekehkan tugas pasukan
keselamatan termasuk sanggup mendakwa kononnya tragedi pencerobohan bersenjata
di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu sebagai satu sandiwara.
Beliau menegaskan dakwaan
sedemikian sangat serius sepatutnya tidak boleh dikeluarkan ketika pasukan
keselamatan berdepan dengan pihak penceroboh yang mendakwa adalah askar
Kesultanan Sulu dari Selatan Filipina.
Katanya, jika terbukti benar
maka pihak yang didapati terlibat perlu dikenakan tindakan lebih tegas mengikut
undang-undang sedia ada kerana kenyataannya bukan sahaja mempersenda soal
kestabilan malahan turut mengguris hati dan perasaan rakyat negeri ini.
"Saya percaya pemimpin
pembangkang terbabit tidak ada semangat patriotisme langsung ketika pasukan
keselamatan kita sedang berusaha bagi membanteras pencerobohan yang berlaku,
dia pula sempat mempersenda.
"Mungkin pemimpin
pembangkang ini sudah tiada isu yang hendak diperkatakan maka beliau pun
sengaja mempersenda-sendakan sehingga tergamak mengaitkan Umno dan kerajaan
Barisan Nasional (BN) dengan tragedi pencerobohan itu," jelasnya.
Ampong menyatakan demikian kepada media sejurus selepas menyampaikan sumbangan sebanyak
RM5,800 untuk membantu mengisi Tabung Wira Lahad Datu.
Sumbangan telah disampaikan
kepada Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong dalam satu majlis ringkas
di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) di sini, kelmarin.
Hadir sama Naib Ketua Umno
Sandakan, Datuk Haji Alipudin Puyon; Setiausaha Bahagian, Haji Hamdan Dikong;
Bendahari Bahagian, Jainuddin Brahim; Ketua Penerangan Bahagian, Abdul Hamid
Sabal dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Datuk Haji Awang Kadin Tang serta
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt.Fadzil Mohd Ali.
Dalam hubungan ini, beliau
berkata pihak kerajaan tidak akan membiarkan pemimpin pembangkang berkenaan
malah berkemungkinan besar akan berdepan tindakan tegas sebagai pengajaran kepadanya dan juga orang lain.
Sepatutnya, kata beliau
lagi, saat negara menjalankan operasi bagi menghapus penceroboh hendaklah
memberi kata-kata semangat supaya pasukan keselamatan yang berjuang di
perbatasan mendapat semangat moral.
"Namun, kita kesal apabila
rakyat jelata memberikan semangat moral kepada pasukan keselamatan ada pula
sebilangan pihak-pihak tertentu yang mengatakan tragedi pencerobohan sebagai
satu sandiwara.
"Bagi saya, dakwaan
sedemikian amat tidak bertanggungjawab sekali dan mendesak kerajaan supaya
menjalankan siasatan secara terperinci ... seandainya benar, tindakan tegas
wajar diambil.
"Ini soal maruah negara
termasuk kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dan
tercedera ... sudah pasti terguris hati dan perasaan mereka," kata Ampong.
Sehubungan dengan itu,
beliau mengajak seluruh rakyat tanpa mengira apa jua latarbelakang dan fahaman
agar bersatu padu dan memberi sokongan yang padu kepada pasukan keselamatan
yang kini di perbatasan menghapuskan saki-baki pengganas melalui 'Ops Daulat'.
Beliau berharap kejadian
pencerobohan bersenjata yang sudah berlanjutan semenjak bulan lepas itu akan
dapat ditangani seberapa segera.
No comments:
Post a Comment