KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad
Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga
seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan
persiapan untuk menghadapi ancaman luar.
Sambil menegaskan bahawa
kerajaan tidak akan memandang ringan tentang keselamatan negara, beliau berkata
segala usaha akan dilakukan untuk memastikan pasukan keselamatan diberi latihan
yang sebaik mungkin, dilengkapi peralatan lebih canggih dan sentiasa bersedia
untuk menangani kejadian seperti itu.
“Saya rasa kita telah
menikmati suasana aman dan stabil yang begitu lama di Malaysia. Komunis meletak
senjata pada 1989 dan sejak itu, Malaysia dilimpahi suasana aman dan stabil
dalam tempoh yang cukup panjang.
“Kejadian itu (serangan di
Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman luar dan kita perlu menanganinya.
Jadi, sekiranya kami membuat keputusan menambah perbelanjaan untuk pertahanan
dan keselamatan, janganlah rakyat mempertikaikannya pula.
“Mereka perlu melihatnya
sebagai langkah untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah
kita,” katanya dalam program ‘Conversation with the PM’ melalui TV3 malam tadi.
Sambil menegaskan bahawa
kerajaan tidak akan berkompromi tentang keselamatan, kedaulatan dan integriti
wilayah Malaysia, Perdana Menteri berkata:
“Kita perlu berusaha sedaya
upaya untuk memastikan rakyat Malaysia, tanpa mengira di mana mereka berada di
negara ini, berasa selamat, terjamin dan masa depan mereka juga dipelihara oleh
kerajaan.”
Pasukan keselamatan Malaysia
melancarkan ‘Operasi Daulat’ pada 5 Mac selepas pengganas Sulu membunuh lapan
anggota polis di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan Kampung Simunul di
Semporna pada 1 dan 2 Mac.
Kumpulan pengganas itu
bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 12 Feb dan tidak mengendahkan sikap baik
kerajaan yang sedia berunding tentang penyerahan diri mereka.
Sehingga kini, 54 pengganas
terbunuh dan kira-kira 100 orang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan
kumpulan pengganas bersenjata itu.
Najib seterusnya menegaskan
bahawa usaha menjamin keselamatan negara bukan sahaja menjadi tanggungjawab
pasukan keselamatan dan kerajaan, tetapi juga semua rakyat Malaysia melalui
peranan masing-masing, termasuk memberi sokongan kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana
Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia memiliki kemampuan dan aset yang
mencukupi untuk melindungi keselamatannya.
“Saya rasa, untuk menangani pencerobohan
bersenjata, kita memiliki aset yang diperlukan, tapi, seperti yang saya
nyatakan tadi, peristiwa ini membuka mata kita, di mana terdapat jurang dari
segi kemampuan kita, dan kita harap akan dapat merapatkan jurang ini,” kata
Najib.
Beliau berkata memandangkan
timur Sabah mempunyai lantai laut sepanjang lebih 1,000 km, maka negeri itu
menghadapi “cabaran besar” dari segi keselamatan dan sejajar dengan itu,
langkah lebih ketat perlu diambil.
“Kita pastinya perlu
mempunyai lebih banyak aset dan sistem pengawasan yang lebih berkesan (di
sana),” kata beliau.
Ketika melawat Lahad Datu
baru-baru ini, Najib mengumumkan penubuhan satu kawasan keselamatan khas yang
merentas dari Kudat ke Tawau — kira-kira sepanjang 1,400 km — untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan di
timur Sabah.
Diminta mengulas dakwaan
media asing bahawa pengganas Sulu bertindak demikian kerana dihasut pihak
tertentu di Filipina, termasuk mereka yang menentang presidennya, Najib berkata:
“Apabila saya bercakap
dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau memberitahu saya bahawa pihak mereka
akan memulakan siasatan. Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang sungguh
menarik iaitu mereka terdiri daripada golongan yang agak miskin.
“Sudah tentu mereka tidak
memiliki kemampuan untuk melancarkan operasi seperti itu terhadap Malaysia dan
oleh itu, beliau berpendapat mereka mendapat pembiayaan dari tempat lain.
“Apa yang disyaki itu
nampaknya mempunyai asas yang cukup kuat, tapi kita perlu membuat siasatan dan
bukti yang secukupnya perlu diperoleh sebelum kita boleh menuding jari kepada
sesiapa,” katanya.
Ditanya sama ada serangan
pengganas di Lahad Datu akan menjejaskan peranan Malaysia dalam proses damai di selatan
Filipina, Perdana Menteri berkata ia merupakan dua isu berlainan kerana proses
damai itu melibatkan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro
(MILF).
Najib berkata pengganas di
Lahad Datu agak berbeza daripada MILF dan mereka membuat tuntutan yang aneh dan
tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.
“Sebab itulah mereka
menggunakan keganasan dan ini sesuatu yang mendukacitakan. Bagaimanapun, kita
akan tangani perkara ini dengan cara yang kita fikir wajar,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment