TAWAU
: Seorang daripada lapan tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang
menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia
disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.
Hooland
Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan
demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi
anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang
terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan
Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah. Hooland
turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.
Sejurus
kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan
kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan
akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.
Ketika
prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada setiap tertuduh
untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas mereka dan jurubahasa
perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap kesalahan.
Tertuduh
juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu diwakili peguam kerana
tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat iaitu gantung dan penjara
seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Lapan
warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan dua daripadanya
bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agong.
Dua
tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan
pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas.
Ini
merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung
dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit
Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.
Sementara
itu Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama (menjadi anggota
pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia pada Febuari lepas
menggunakan pasport antarabangsa.
Bagaimanapun
Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang
dengan pihak peguam.
Seorang
lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili merupakan tertuduh
yang mengambil masa agak lama untuk memahami pertuduhan.
Dia
yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan 'straight
jacket' seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan pertuduhan berulang
kali dalam bahasa Suluk.
Habil
sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan
pengakuan itu tidak akan direkod.
Tertuduh
pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang dan
menjadi anggota pengganas hanya memohon penjelasan hukuman yang akan
dihadapinya.
Atik
Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.
Empat
tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan Lating Tiong hanya
menyatakan 'nothing to say' (tiada apa yang hendak dicakapkan).
Basad
menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin manakala Lin hanya
didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta Lating menghadapi tuduhan
melindungi kumpulan pengganas.
Kesemua
terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke
kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.
Kesemua
mereka tidak dibenarkan jamin.
Sementara
itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi Tawau hari
ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap bersenjata dan hanya seorang
wartawan daripada setiap organisasi yang dibenar masuk.
Kesemua
wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi hanya dibolehkan
membawa buku nota dan pen manakala semua alat komunikasi dan peralatan lain
tidak dibenarkan.
Tiada
wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.
Lapan
tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10
pagi. (Bernama)
No comments:
Post a Comment