LAHAD DATU : Bekas perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat tetap terhutang budi kepada
pasukan keselamatan meskipun dimanipulasi pembangkang kononnya krisis
pencerobohan pengganas di sini adalah satu sandiwara.
Beliau berkata rakyat tidak
termakan propaganda pembangkang untuk memperkecil pasukan keselamatan kerana
hakikinya, sudah sembilan nyawa terkorban, dan seorang anggota tentera maut
dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.
"Saya yakin rakyat
terhutang budi dan yakin dengan semangat pasukan keselamatan kita. Ini sikap
rakyat Malaysia apabila menghadapi keadaan ini, dan akan bersatu dalam
mempertahan negara.
"Walau ada parti
politik cuba pecahkan, tetapi rakyat terus sokong pasukan keselamatan,"
katanya ketika berucap di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat Ahad.
Beliau juga berharap semua
rakyat, terutama di Sabah, memberi penghargaan tinggi kepada pasukan
keselamatan yang bertungkus-lumus mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman
luar.
Masyarakat Sulu di Sabah
juga turut menolak tindakan pengganas itu, walaupun mereka adalah sebangsa,
katanya.
Sehubungan itu, Dr Mahathir
berkata Malaysia harus mempertingkat kekuatan pertahanan negara tanpa perlu
bergantung kepada mana-mana pihak.
Beliau juga yakin
pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berusaha
mempertingkat pertahanan negara mengikut kesesuaian muka bumi Sabah, dan tidak
akan membenarkan serangan pengganas berlaku lagi pada masa depan.
"Saya ucapkan terima
kasih kepada pasukan keselamatan yang berkorban nyawa mempertahankan
negara," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment