MENTERI Dalam Negeri Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kejadian serang hendap terhadap
anggota keselamatan di Kampung Simunul, di Semporna 2 Mac lepas mempunyai
kaitan langsung dengan pencerobohan militan di Lahad Datu.
"Kes serang hendap di
Semporna yang mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban bukan kes
terasing daripada kes pencerobohan pengganas di Lahad Datu sejak 12 Feb
lepas," katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung
Senallang Lama, kira-kira lima kilometer dari pekan Semporna, iaitu lokasi
seorang pengganas dibelasah sehingga mati oleh penduduk.
Dalam kejadian itu
sekumpulan pegawai dan anggota polis diserang hendap ketika memasuki
perkampungan air terbabit untuk menjalankan operasi setelah mendapat maklumat
mengenai terdapat kumpulan bersenjata di kawasan berkenaan.
Kejadian pada 8 malam itu
menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban manakala enam musuh berjaya
ditembak mati.
Mengenai penahanan 97
individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan di Lahad Datu dan
Semporna, Hishammuddin berkata jumlah yang sebegitu besar menunjukan kerajaan
amat serius dalam soal keselamatan dan keamanan negara.
"Jika tindakan tidak
dilakukan sekarang, lebih banyak nyawa mungkin terkorban," katanya sambil
memberitahu bahawa kesemua mereka masih dalam siasatan.
Beliau berkata akta yang ada
mencukupi untuk mengendalikan kes serius seumpama itu (Bernama)
No comments:
Post a Comment