Oleh : MUTALIB M.D
HASRAT Perdana Menteri
menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu Pendatang Asing
Tanpa Izin (PATI) yang mendapat IC Projek melalui Operasi Durian Buruk belum
kesampaian kerana Jabatan Tanah dan Ukur Sabah hanya mempunyai 'Mahkamah
Kangaroo' yang keputusannya boleh dibeli dengan wang.
Dalam kes terbaru pertikian
tanah, No. 16 Tahun 2013, Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Lee Chun Khiong,
telah memberikan tanah seluas 15 ekar kepada seorang PATI IC Projek, Wahab Bin
Nonong setelah penuntut, Ninah Binti Gaya gagal mengemukakan Sijil Anak Negeri
dan menolak pengesahan Anak Negeri yang dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Anak
Negeri Sabah.
Berikut keputusan penuh yang
dibuat Lee Chun Khiong pada 18 April 2013 yang dikirim kepada penuntut melalui
surat DLS (Rayuan) L.E.No.16/2013/(12)/NA bertarikh 23 April 2013;
"Dengan kehadiran
kedua-dua pihak di jadapan saya pada 18 April 2013 dan setelah mendengar
penghujahan lisan masing-masing, saya dengan ini memutuskan bahawa tuntutan tanah
mengikut Adat Anak Negeri oleh penuntut tidak dapat diterima kerana penuntut
bukanlah seorang Anak Negeri Sabah dan tidak memiliki Sijil Anak Negeri. Oleh
itu pendaftaran CL 115403640 haruslah diteruskan."
Ninah yang menghubungi
Sabahkini.net sebentar tadi memaklumkan bahawa beliau baru sahaja menerima
surat berkenaan pada 3 Mei lalu dan akan memfailkan Semakan Kehakiman di
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam minggu ini.
Menurut Ninah, beliau agak
terkilan dan terkejut dengan penghakiman berat sebelah yang dibuat oleh Lee
Chun Khiong setelah kes berkenaan dibicarakan oleh PPHT Lahad Datu; tetapi
ditolak oleh Lee Chun Khiong setelah mendapati keputusan PPHT Lahad Datu agar
tanah berkenaan dibahagi dua antara beliau dengan Wahab dan keputusan dibuat
ketika PPHT Lahad Datu sedang bercuti.
"Lee memaksa saya
mengemukakan Sijil Anak Negeri sedangkan beliau tahu bahawa pengeluaran Sijil
Anak Negeri telah dibekukan sejak 1984 dan menolak Surat Pengesahan Majlis Hal
Ehwal Anak Negeri. Tetapi dia tidak pernah meminta Wahab mengemukakan Sijil
Lahir untuk membolehkan beliau memohon tanah Sabah," kata Ninah yang
mendesak agar Panel RCI memanggil Wahab sebagai saksi penting apabila sidang
RCI disambung semula.
Ninah menjelaskan bahawa
penghakiman yang dibuat oleh Lee telah melangggar hak asasinya dan bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Tanah Sabah; apatah lagi diberikan
kepada PATI.
"Semua penduduk Silam
tahu siapa Wahab, di mana beliau dilahirkan dan bila beliau mendapat Mykad
Projek dan turut memiliki beberapa kad pengenalan palsu," kata Ninah yang
menjelaskan bahawa Wabah tidak layak mendapat walau seinci pun tanah di Sabah,
apatah lagi tanah adat yang diwarisi daripada arwah bapanya.
Kata Ninah, Wahab juga
menggunakan beberapa nama antaranya Nonong Bin Ujil, Nonong Bin Upau dan Nonong
Bin Edar untuk beberapa urusan rasmi, termasuk menunaikan haji di Mekah.
Nina turut memfailkan aduan
rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah di Mini Putrajaya kerana
meyakini penghakiman yang dibuat Lee adalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah
kerana mempunyai kepentingan peribadi.
"Jika Lee tidak
mempunyai kepentingan peribadi, kenapa memindahkan kes ini daripada PPHT Lahad
Datu ke Kota Kinabalu sedangkan isu tanah adat adalah kuasa PPHT dan bukannya
kuasa Timbalan Pengarah," kata Ninah yang menyatakan sepatutnya Wahab
harus membuktikan beliau rakyat Sabah dengan menunjukkan bukti beliau lahir di
Sabah kerana pada 1989 Wahab masih memegang Pasport Filipina.
No comments:
Post a Comment