Tuesday, 14 May 2013

AKIBAT REBUT KERUSI, SEMUA TINGGAL GUSI?




         
OLEH: Lo_PHUNK

SATU pengajaran yang sangat berguna kepada parti-parti politik pembangkang di Sabah untuk bersatu dan tidak tunjuk kuat pada PRU akan datang. Ini jelas hanya mengundang kepada kekalahan dan merugikan rakyat yang inginkan perubahan.

Sebelum ini, semua parti pembangkang dengan angkuh meminta kerusi lebih banyak berbanding parti lain dan tidak terkecuali STAR dan SAPP yang kita lihat kecundang serta telah menggagalkan hasrat rakyat untuk menukar parti pemerintah.

STAR yang meletakkan calon DUN seramai 45 orang, hampir semua hilang diposit dan hanya jeffrey yang menang. Begitu juga dengan calon parlimen yang sebanyak 18 orang dan langsung tiada seorangpun yang menang.

SAPP yang meletakkan  26 calon DUN dan 8 orang calon parlimen yang menyaksikan kesemuanya tumbang bersama ketuanya. Sebelumnya, SAPP dengan angkuhnya meminta kerusi yang banyak daripada parti lain namun kini jelas terbukti bahawa semuanya sia-sia.

Satu rundingan bermula daripada awal iaitu bermula dari sekarang agar perpecahan tidak akan berlaku. Semua parti pembangkang patut duduk semeja dan membincangkan kerusi yang hendak ditandingi kelak.

Setelah mendapat persetujuan maka parti masing-masing harus memainkan peranan yang penting serta mengatur gerak untuk persediaan awal. Ini mengelakkan daripada perebutan kerusi atas kapasiti telah berkhidmat lama dalam sesebuah kawasan.

Rakyat mahukan perubahan. Oleh itu, parti-parti politik wajar merancang dan menumpukan sepenuhnya kepada perpaduan dan mengelakkan pertembungan antara parti pembangkang, seperti yang berlaku pada PRU 13 lepas.

Janganlah ada sikap tamak dalam diri dan terlalu yakin untuk menang. Ingatlah bahawa kegagalan hari ini bakal berulang jika sikap itu dipraktikkan pada PRU akan datang.

Pengagihan kerusi pada saat terakhir bakal mengundang padah. Janganlah ada yang membangkitkan sentimen parti semenanjung dan parti sabahan kerana taktik itu tidak akan berhasil.

Rata-rata dalam manifesto parti pembangkang hampir serupa dan inilah yang patut dibincang agar parti pembangkang dapat bergabung tenaga untuk menumbangkan regim UMNO.

Ingat. Rakyat sedang memerhatikan anda.

No comments:

Post a Comment