Thursday, 2 May 2013

GELOMBANG KECIL MENJELANG PRU-13






TEKAD.... Jinan Narujin 49, mengetuai seramai kira-kira 200 orang menyertai SAPP.

Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Kempen pilihanraya umum kali ke-13 (PRU) kawasan Melalap sama ada dipihak Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang khususnya Parti Maju Sabah (SAPP) nampaknya semakin hangat, malah masing-masing tidak mahu mengalah.

PRU13 yang semakin menghampiri pembuangan undi pada hujung minggu ini, masing-masing menggandakan usaha di peringkat akhir untuk meraih sokongan pengundi dengan menggunakan taktik dan propaganda parti masing-masing.

Isnin lepas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam satu sesi ceramah mereka di Markas Kg Kalang, telah menerima kemasukan ahli baru seramai kira-kira 50 orang dan borang keahlian mereka diterima oleh Datuk Radin Malleh yang disaksikan kira-kira 200 orang ahli BN dari parti-parti komponennya.

Manakala pada Selasa, SAPP turut menerima ahli baru seramai kira-kira 200 orang dalam satu sesi ceramah di Kg Makatabau kira-kira 5km dari pekan di sini yang diketuai oleh Jinan Narujin, 49.

Borang kemasukkan ke dalam SAPP diterima oleh Naib Presiden SAPP yang juga calon Parlimen Tenom, Jimmy Jawatah yang turut disaksikan calon parti itu bagi kawasan Dun Melalap Roger Stimin serta hadirin kira-kira lebih 200 orang.

Dalam pada itu, Jinan Narujin ketika ditemui menjelaskan, bahawa antara sebab beliau menyertai SAPP adalah inginkan perubahan kerana wakil rakyat di situ; khususnya Adun Melalap sudah 4 penggal berkhidmat di kawasan itu, namun pembangunan maksima gagal dilakukannya berbanding dengan beberapa wakil rakyat sebelum ini.

Ditanya lanjut apakah beliau yakin kepimpinan muda yang bakal diangkat menggalas tugas dan tanggung jawab selaku wakil rakyat baru mampu melestarikan pembangunan sepertimana yang pengundi disini harap-harapkan sebelum ini Jinan berkata;

“Pilihan pengundi di alaf baru ini adalah pemimpin muda, berwibawa dan mempunyai halatuju yang mampu melakukan perubahan terhadap banyak perkara di kawasan Dun Melalap; seperti keusahawanan, pendidikan, ekonomi dan industri kecil dan sederhana yang memberi peluang pekerjaan.

“Kita mahukan perubahan kerana Dun Melalap sudah jauh ketinggalan dari segi pembangunan modal insan berbanding di kawasan lain,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment