Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
BEKAS hakim Mahkamah Rayuan
Datuk Mohd Noor Abdullah menyeru agar kerajaan menghapuskan sekolah vernakular
yang didakwanya bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat malah tidak diiktiraf
perlembagaan.
“Menurut Perlembagaan, kita
sepatutnya hanya ada satu aliran sekolah sahaja. Sepatutnya kita hapuskan
sekolah jenis kebangsaan (SJK).
“Hapuskan oleh kerana
Perlembagaan tak iktiraf sekolah jenis kebangsaan kerana adanya sekolah
kebangsaan dan jenis kebangsaan, adanya sekolah Cina, India, ia
memecah-belahkan rakyat,” katanya dalam Seminar Pasca PRU-13 di Kuala Lumpur
hari ini.
Golongan yang tidak
bersetuju dengan penghapusan SJK pula boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk
mencabar tindakan tersebut, katanya.
“Kalau ada yang tak setuju,
mereka itu anti-perpaduan. Adakah salah bagi saya nyatakan sesuatu yang benar?
Sepatutnya apa yang saya kata ini disokong, bukan sahaja oleh masyarakat Melayu
tetapi seluruh masyarakat Malaysia.
“Kita perlu berjihad untuk
perkasakan orang Melayu. Seandainya ada terdengar suara-suara yang bantah, maka
caranya dapatkan perintah mahkamah bahawa kewujudan SJK tak sah dan
bertentangan dengan perlembagaan,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh
hadirin.
Dalam ucapan sebelum itu,
bekas pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahmad
Arshad yang menimbulkan perkata itu berpendapat sekolah aliran tunggal akan
menyatukan sistem persekolahan.
“Satukan sistem
persekolahan... buat sekolah satu aliran, sekolah rendah kerajaan dan sekolah
menengah kerajaan. Itu sahaja.
"Sekolah jenis
kebangsaan Cina dan India yang ada sekarang ini kita ubah kepada sekolah
kerajaan. Tak ada jenis-jenis.
"Kita harus praktikkan
apa yang boleh dipraktikkan,” katanya yang turut mengambil contoh sistem
persekolahan di Indonesia, Thailand dan Filipina.
Seminar berkenaan diadakan
bagi membincangkan kesan pilihan raya umum 5 Mei, yang menunjukkan BN hanya
mampu menguasai 133 kerusi parlimen, berbanding 140 dalam pilihan raya umum Mac
2008.
Bagaimanapun, Umno yang
banyak bertanding di kerusi majoriti Melayu berjaya memperolehi sembilan lagi
kerusi, berbanding hanya 79 kerusi pada 2008, walau parti BN yang bertanding di
kerusi majoriti Cina – MCA dan Gerakan – kalah teruk dalam pilihan raya kali
ini,
Di sisi Pakatan Rakyat pula,
ramai calon Melayu menang di kerusi campuran, malah turut menewaskan calon
pencabar dari kaum Cina.
No comments:
Post a Comment