PERHIMPUNAN....Para
pewaris Gua Gomantong mengadakan demonstrasi Aman di Pejabat Daerah
Kinabatangan
Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : REZAL PAWANA
KINABATANGAN : Satu
perhimpunan secara aman telah dibuat di kawasan Dataran Kinabatangan oleh
penduduk yang tinggal di sekitar kawasan daerah tersebut yang kebanyakannya
adalah penyokong tegar Barisan Nasional.
Perhimpunan secara aman ini
telah dianjurkan oleh Gabungan Pewaris Gua Gomantong. Perhimpunan ini dibuat kerana
ingin menuntut hak Orang Sungai daripada suku Bulud Upih yang sememangnya
adalah pewaris Gua Gomantong daripada Kerajaan Negeri Sabah.
Perhimpunan secara aman ini
telah dianjurkan oleh Awang Aspar Bin Haji Liwanga dan dibantu oleh beberapa
orang rakan lain serta dihadiri oleh seorang wakil daripada Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk. Patrick Sindu.
Acara perhimpunan tersebut mendapat
sambutan yang mengalakkan. Perhimpunan itu dimulakan dengan berhimpun di
kawasan Dataran Kinabatangan dan seterusnya para peserta perhimpunan menuju ke
kawasan Gua Gomantong untuk majlis penyerahan memorandum perjanjian di antara
Orang Sungai Bulud Upih dengan pihak British North Borneo Chartered Company
(BNBCC) yang masih lagi berada dan tersimpan dalam keadaan baik.
Pihak kerajaan yang ada kini
didakwa gagal mengambil sebarang tindakan terhadap isu berkenaan Gua Gomantong
walaupun perkara ini sudah berpuluh tahun berlaku dan isu ini sering kali
dibangkitkan.
Wakil daripada Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk Patrick Sindu berkata kehadirannya ke
Kinabatangan tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya kehadirannya adalah
sebagai seorang wakil daripada (SUHAKAM) dan akan membantu dalam menyelesaikan
isu tuntutan hak Gua Gomantong yang telah lama membelengu.
Isu tuntutan hak ke atas Gua
Gomantong ini sudah lama berlaku dan kegagalan ini mencerminkan kelemahan pihak
kerajaan dalam mentadbir urus isu tersebut walaupun ia melibatkan kepentingan
rakyat di kawasan tersebut.
Beliau juga mengesa agar
pihak kerajaan yang ada kini mahu pun kerajaan baru yang akan datang dapat
menyelesaikan isu serta menyerahkan kembali Gua Gomantong yang sememangnya
adalah milik Orang Sungai dan ini diakui serta tercatat di dalam memorandom
perjanjian yang telah dibuat oleh pihak British North Borneo Chartered Company
(BNBCC) pada tahun 1884.
Beliau juga berjanji akan
membantu dalam menyelesaikan perkara mengenai isu Gua Gomantong ini.
TUNTUTAN.....Datuk
Patrick Sindu bersama tiga pewaris Gua tersebut.
Manakala Pengerusi Penganjur
Awang Aspar pula berkata, sebelum ini beberapa cadangan dan memorandum telah
pun dikemukakan dan diserahkan kepada pihak kerajaan termasuklah kepada Tuan
Yang Terutama Negeri Sabah, Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan beberapa
Jabatan Kerajaan yang berkenaan.
Bagaimanapun kesemua
cadangan ini tidak mendapat maklum balas yang positif daripada pihak kerajaan
yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) kerana mereka lebih mementingkan
kepentingan individu dari memikirkan masalah rakyat.
“Gua Gomantong adalah hak
kami dan biarlah kami yang membuat kerja-kerja pengutipan sarang burung
tersebut. Kami sememangnya mahir dalam membuat kerja ini yang telah menjadi
kerja turun temurun nenek moyang kami dan bukannya dilakukan oleh
pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat besar.
"Mata yang memandang
dan telinga yang mendengar menambahkan sakit di dalam hati ini mengapa pekerja
asing yang melakukan kerja-kerja tersebut sedangkan tenaga anak muda di kawasan
Kinabatangan ini masih ramai?
"Mengapa tidak
diberikan peluang begitu kepada mereka dan saya juga menyokong pendapat yang
telah disuarakan oleh Datuk Patrick Sindu serta Awang Aspar agar menyerahkan
Gua Gomantong kepada kami semula dan biarlah kami yang menguruskannya kerana
ini lebih menjamin ekonomi rakyat yang tinggal di kawasan Kinabatangan ini.
Pihak kerajaan tidak akan mengalami sebarang kerugian sekiranya Gua Gomantong
diserahkan semula kepada kami,” kata Asbal Bin Asik selaku AJK Penganjur
perhimpunan tersebut.
“Perhimpunan secara aman ini
bertujuan untuk mengesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar mengembalikan hak
perwarisan anak negeri ke atas pengutipan sarang burung di Gua Gomantong kepada
kami dan merayu agar kerajaan negeri meminda enakmen pemeliharaan hidupan liar
(1997).
"Selama kerajaan
Barisan Nasional (BN) memerintah di sini, hak kami sebagai anak negeri ini
telah rampas dan kami hidup kami ditindas. Jika dibandingkan pada zaman
pemerintahan kerajaan British dahulu adalah lebih baik daripada apa yang ada
serta yang kami alami sekarang. Kerana kerja-kerja pengutipan sarang burung
diserahkan kepada suku kaum kami oleh pihak British,” kata Sakirun Insani
selaku Setiausaha perhimpunan ini.
Dalam pada itu, Calon SAPP Aprin
Bin Musin yang bertanding merebut kerusi kawasan (DUN) N.48 Sukau turut hadir
sama di dalam perhimpunan tersebut dan seterusnya beliau selaku wakil kepada
penduduk dan pewaris menyerahkan memorandum perjanjian Gua Gomantong kepada
Datuk Patrick Sindu selaku wakil daripada pihak (SUHAKAM) di kawasan ruang
legar pejabat Jabatan Hidupan Liar dan disaksikan sendiri oleh pegawai dan
kakitangan jabatan tersebut juga para peserta perhimpunan.
“Permasalahan ini
sememangnya telah lama disuarakan oleh penduduk-penduduk yang tinggal di
sekitar kawasan (DUN) Sukau kepada pihak-pihak yang berkenaan namun sehingga
kini tidak ada jawapan yang diterima.
"Isu permasalahan ini
telah lama membelenggu penduduk-penduduk di kawasan Sukau juga kawasan
sekitarnya dan isu yang paling besar adalah isu Tanah dan Gua Gomantong.
Kelemahan daripada tampuk pimpinan yang menerajui kawasan Sukau dan sekitarnya
kini menyebabkan penduduk di kawasan tersebut bangkit untuk menentang.” kata Aprin
lagi.
Selain itu beliau juga
mengesa serta berjanji kepada semua penduduk-penduduk Sukau dan kawasan
sekitarnya agar bangkit demi perubahan.
“Saya berjanji kepada semua
penduduk Sukau dan sekitarnya sekiranya penduduk Sukau memberikan mandat kepada
saya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kali ini, saya akan membawa apa juga
permasalahan yang dialami di sini ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk
diselesaikan.
"Saya juga akan
mengunakan semua jenis laman sosial yang ada kini untuk dimanfaatkan sebaik
mungkin sebagai landasan juga alat perhubungan dan mendengar segala rintihan
yang akan diajukan oleh penduduk Sukau demi untuk satu perubahan dan juga
memajukan Sukau serta kawasan sekitarnya. Bukan sekadar membawa perubahan, tetapi
yang penting membuat perubahan,” kata beliau lagi.
No comments:
Post a Comment