Oleh : AHMAD FADLI KC
BEBERAPA NGO Melayu tampil
menggesa kaum itu memboikot perniagaan dan produk terkenal milik pengusaha Cina
kerana didakwa mendanai pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13.
Ketua Aktivis Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan entititi
perniagaan itu telah memecahkan perpaduan dalam negara.
Sambil menempelak Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nadzim berkata, langkah itu juga
bertujuan menghantar signal kepada syarikat-syarikat berkenaan agar
"jangan kurang ajar".
Perniagaan yang mahu
diboikot termasuk dua rangkaian kedai makan, rangkaian pasar raya serta jenama
roti dan tepung terkenal.
Sementara itu, kenyataan
bersamanya gabungan itu yang diedarkan menyebut, ia langkah mudah tetapi
berkesan bagi mengekang Anwar daripada terus 'menghasut rakyat' dan DAP
daripada memperalat orang Cina.
Nadzim bagaimanapun berkata
boikot itu buat masa ini ditujukan kepada lima syarikat sahaja kerana
dikhuatiri akan menjejaskan kehidupan seharian jika dilakukan secara besar-besaran.
"Kalau kita boikot
semua mungkin kita pun tak dapat meneruskan kehidupan," katanya.
Rezeki ditentukan Tuhan
Ditanya tentang kemungkinan
kempen itu menjejaskan mata pencarian orang Melayu yang bekerja dengan
perniagaan terbabit, Nadzim menegaskan rezeki ditentukan Tuhan dan orang Melayu
perlu 'membuang keraguan mereka pada Allah'.
"Kalau dua tiga
syarikat (sahaja diboikot), tak ada masalah. Rezeki Allah nak bagi. Kita mahu
orang Melayu jangan bertanya (perkara ini) lagi, kita buangkan keraguan kita
pada Allah," ulasnya.
Beliau turut menyeru orang
Melayu agar terus memperkukuh kedudukan ekonomi mereka agar terus dihormati
oleh orang-orang Cina.
"Ini undang-undang
alam, kalau kita lemah, kita miskin orang tak hormat kita. Kalau orang Cina tak
hormat kita kerana kita lemah, itu satu kebiasaan," katanya.
Antara ahli gabungan NGO
tersebut yang dinamakan Gabungan NGO Islam 1Malaysia itu adalah Persatuan
Pengguna Islam Malaysia, Suara Anak Muda 1Malaysia, dan Majlis Belia Palestin
Malaysia.
Malaysiakini sedang
menghubungi syarikat yang dimaksudkan NGO berkenaan untuk maklum balas.
No comments:
Post a Comment