KOTA KINABALU : Pakatan
Badan Bukan Kerajaan (NGO) pro Barisan Nasional (BN) berharap agar Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dapat menimbang kemungkinan melantik semula
wakil rakyat BN yang kalah sebagai anggota dewan undangan negeri (Adun) yang
'dilantik'.
Presidennya Zulkarnain
Mahdar berkata terdapat kewajaran untuk memberi ruang kepada mereka berkhidmat
semula sebagai wakil rakyat bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang
kerajaan sebelum ini dan akan datang dapat sampai terus kepada golongan sasar
yang diwakili mereka di kawasan masing-masing.
"Cadangan kami ialah
Datuk Jahid Jahim yang mewakili DUN Tamparuli (dilantik semula) dan (begitu
juga) kawasan lain seperti DUN Inanam, Moyog, Klias, Bingkor dan Api-Api dapat
dipertimbangkan.
"Pakatan NGO Pro BN
akan berjumpa sendiri bagi memanjangkan perkara ini kepada ketua menteri. Saya
cukup yakin dengan sikap ketua menteri yang lebih terbuka, berjiwa rakyat dan
amat memahami masalah rakyat, hasrat kami ini akan dapat ditunaikan,"
katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Kawasan DUN Tamparuli,
Inanam dan Api-Api diwakili calon Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala Moyog dan
Bingkor (Upko) dan Klias diwakili calon Umno.
Perlembangan negeri Sabah
memperuntukkan jawatan enam 'Adun Dilantik' sebagai tambahan kepada 60 Adun
yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya umum.
Pilihan raya umum Ahad lepas
menyaksikan BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga
apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi DUN.
Bagaimanapun, BN Sabah kali
ini kehilangan 12 kerusi DUN berbanding tiga pada PRU 2008. (Bernama)
No comments:
Post a Comment