Oleh : GARY LOUIS SUPI
SUATU kekecohan didakwa
berlaku di perkarangan pejabat PAS Semporna apabila sekumpulan lelaki dikatakan
menyerang dengan membawa objek seperti kayu besbol, topi keledar, gergaji, besi
dan tukul.
Yang Dipertua PAS Semporna
Hassan Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian serangan
itu.
Menurutnya, serangan itu
berlaku tiba-tiba tidak lama selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
meninggalkan pekan Semporna menuju ke Tawau.
Dakwanya, semasa Anwar
berucap di Kampung Perigi, Pemuda BN telah pun memulakan gangguan dengan
membuat bunyi bising menggunakan motor yang kemudian berlanjutan kepada
serangan di perkarangan pejabat parti.
Hassan berkata, akibat
daripada serangan tersebut, seorang daripada ahli parti itu mengalami
kecederaan ringan serta beberapa kerosakan pada kenderaan.
Beliau turut mendakwa,
serangan itu diketuai oleh dua orang adik kepada salah seorang wakil rakyat.
"Cermin kereta
dipecahkan dan dua buah kereta dikemekkan. Motorsikal turut dirosakkan,"
dakwa Hassan.
Laporan polis telah pun
dibuat berkenaan serangan itu.
Menurut laporan yang dibuat
oleh anggota PAS, Abdul Naib Arrolah, serangan kedua berlaku pada 7.20 petang
ketika ahli-ahli PAS sedang solat Maghrib dan solat Hajat di pejabat mereka.
Dalam laporan itu, beliau
mendakwa kumpulan itu mengancam untuk membakar pejabat PAS Semporna.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Semporna Firdaus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan laporan telah
diterima.
"Ada kekecohan
berkenaan penggantungan poster dan bendera. Ekoran pekerja merebut tempat. Itu
sahaja. Kita dah panggil semua pihak yang bertanding dan semua bersetuju
berkempen secara sihat," katanya.
Firdaus tidak dapat
mengesahkan jenis senjata yang digunakan kerana tidak berada di tempat
kejadian.
"Kadang-kadang yang
muda-muda ni ada gelojoh sikit. Tapi tak ada niat apa-apa, hanya provokasi dan
sakitkan hati. Tapi bila pakcik dia datang dari PAS, Bebas atau BN, dia sudah
bersalaman kerana semua bersepupu," jelas Firdaus.
Polis menasihatkan parti
bertanding tidak mengambil petugas parti daripada kalangan kaki gaduh.
Pegawai kepada wakil rakyat
yang dikaitkan dengan kejadian tersebut ketika dihubungi Malaysiakini enggan
mengulas dakwaan itu buat masa ini.
Sementara itu, pembantu
kepada calon BN di Semporna Datuk Seri Shafie Apdal berkata mereka tidak dapat
mengulas perkara itu kerana sedang berada di Sarawak.
"Kami akan pulang ke
Kuala Lumpur hari ini. Kami akan dapatkan dahulu maklumat berhubung perkara ini
sebelum mengulasnya," katanya.
No comments:
Post a Comment