BEAUFORT : Kerajaan
memperuntukan sebanyak RM49 juta bagi melaksanakan projek pembinaan Kolej Islam
Sabah yang akan bermula dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Pembangunan
Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah Datuk Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata pembinaan
kolej tersebut telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
semasa lawatan beliau ke Sabah baru-baru ini.
"Kolej Islam Sabah ini
adalah yang pertama di Sabah, dan tujuan pembinaan kolej ini adalah untuk
memudahkan para pelajar agar tidak perlu untuk pergi jauh menyambung pengajian
mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti
Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di sini.
Azizah yang juga calon
Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Beaufort berkata pembinaan Kolej
Islam yang akan menawarkan pengajian di peringkat sijil hingga ijazah adalah
yang pertama seumpamanyaa di Sabah.
Terdahulu, dalam ucapannya,
beliau berkata istilah 'Tukar' yang sering kali dilaungkan oleh pihak
pembangkang hanya akan membawa kepada perpecahan kepada umat Islam kerana di
Malaysia telah termaktub Islam adalah agama rasmi.
Beliau berkata dengan
pembinaan Kolej Islam itu akan dapat melahirkan lebih ramai lagi generasi muda
yang tinggi ilmu dalam bidang agama yang tidak akan mudah terpesong akidahnya.
"Pada masa kini
kuasa-kuasa luar sentiasa berusaha untuk merosak dan melemahkan umat Islam di
seluruh dunia seperti yang berlaku di negara-negara Timur Tengah dengan istilah
'Arab Spring' yang menggantikan kerajaan sedia ada akhirnya merugikan rakyat
negara itu sendiri," katanya.
Sementara itu, dalam
ucapannya, Pemangku Ketua Umno Beaufort, Isnin Aliasnih berkata Kolej Islam
itu, yang akan dibina di Bandar Baru Selagon, adalah hasil usaha kerajaan BN
yang komited untuk menambah pusat ilmiah di kawasan Beaufort.
Isnin yang akan bertanding
bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias pula berjanji akan membawa lebih
banyak perubahan dan kemajuan kepada penduduk setempat jika diberi mandat pada
pilihan raya ke-13 ini. (Bernama)
No comments:
Post a Comment