Rakyat Malaysia dikasihi,
HARI INI negara tercinta
Malaysia berada di persimpangan antara masa hadapan yang penuh peluang dan
harapan serta masa hadapan yang sarat dengan ketidaktentuan dan pertelingkahan.
Di tangan Tuan-Tuan dan
Puan-Puan, serta 13 juta warga Malaysia yang lain terletak kuasa untuk membuat
keputusan mengenai siapakah yang terbaik untuk diberikan amanah serta
tanggungjawab bagi meneraju negara bertuah ini untuk tempoh lima tahun yang
akan datang.
Empat tahun yang lalu
merupakan tempoh yang mencabar untuk kita semua. Di dalam persekitaran ekonomi
global yang amat mencabar kerajaan dan rakyat Malaysia telah berjaya hasil
kerjasama semua meletakkan ekonomi Malaysia di landasan yang betul untuk
pertumbuhan berterusan, meningkatkan hasil negara yang digunakan untuk
meringankan beban kehidupan rakyat, merangsang penciptaan peluang pekerjaan
yang mencukupi dan meningkatkan kemakmuran untuk semua.
Ia bukanlah perjalanan yang
mudah bagi kami parti yang diberikan amanah sebagai kerajaan oleh tuan-tuan dan
puan-puan. Dalam sesetengah perkara kami perlu mengambil keputusan yang perit
tetapi perlu.
Dalam keadaan ini kami tidak
bertindak sebagai ahli politik populis tetapi sebaliknya bertindak setelah
mengkaji secara teliti kesan jangka panjang keputusan yang bakal diambil bukan
sahaja terhadap generasi hari ini tetapi juga generasi masa depan negara ini,
kami tidak rela mewariskan sebuah negara yang gagal kepada anak-anak kita.
Setelah melalui proses
mendengar, merundingi serta memperoleh input dari semua pihak kami telah
merangka pelan yang kami yakin terbaik untuk semua rakyat Malaysia untuk tempoh
lima tahun akan datang malahan sehinggga tahun 2020.
Sesungguhnya Tuan-tuan dan
Puan-puan mampu merasai sendiri keberkesanan segala usaha yang telah saya dan
rakan-rakan lakukan setakat ini.
Berikanlah kami Kerajaan
Barisan Nasional peluang untuk terus berkhidmat demi kepentingan tuan-tuan dan
puan-puan bagi meningkatkan lagi mutu kehidupan kita dan anak-anak kita serta
demi masa depan yang lebih sejahtera serta makmur.
Berilah kepercayaan kepada
Kerajaan BN bagi meneruskan usaha bakti buat Malaysia dan seluruh rakyatnya.
PRU kali ini perlulah
ditentukan bersandarkan menepati janji, mendukung harapan dan kebolehpercayaan.
Tidak sepatutnya wujud ruang untuk mereka yang menabur janji tidak kredibel dan
akhirnya tidak mampu ditunaikan, gemar menyebar fitnah, memanipulasi fakta
serta meraih sokongan berasaskan kebencian serta perpecahan.
Demi anak-anak Malaysia
fikirkan semasak-masaknya, sebelum membuat keputusan kerana pilihan tuan-tuan
dan puan-puan akan mempunyai kesan yang amat besar untuk masa hadapan kita.
Undi tuan-tuan dan puan-puan
sewajarnya menjadi– UNDI untuk Malaysia yang maju dan progresif, UNDI untuk
Malaysia yang menuju transformasi politik, ekonomi dan sosial yang menyeluruh ,
Malaysia di mana kita semua, dapat hidup dengan bangga dan bermaruah di bawah
payung falsafah 1Malaysia.
Yang ikhlas,
NAJIB RAZAK
Pengerusi Barisan Nasional
No comments:
Post a Comment