Oleh : GARY LOUIS SUPI
SUASANA ceramah Pakatan
Rakyat di Fohsang, Kota Kinabalu kecoh apabila Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)
Datuk Seri Yong Teck Lee dan penyokongnya tiba-tiba menyerbu masuk ke barisan
hadapan tempat duduk untuk bersemuka dengan seorang penceramah malam tadi.
Kemunculan Yong mendapat
sorakan ‘boo' daripada penyokong Pakatan tetapi beliau hanya tersenyum sambil
bersalaman dengan barisan penceramah Pakatan dan calon-calon yang bertanding.
Namun, suasana itu bertukar
apabila suara Yong kemudiannya kedengaran meninggi lalu menarik perhatian ramai
orang yang kemudiannya mengerumuni mereka.
"Kamu tahu ini tidak
benar," kata Yong kepada Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi
Pilihan Raya PKR Sabah Dr Chong Eng Leong selepas beliau tamat berucap.
Malaysiakini difahamkan,
Yong merasa kurang senang setelah dimaklumkan Chong mengaitkan beliau dengan 'Projek
IC' dalam ceramah itu dan beliau mahu berdebat tetapi permintaannya ditolak
penganjur.
Chong, pemimpin PKR Sabah,
yang pernah menentang Yong dalam pilihan raya pada 1999 di Likas sebagai calon
Parti Bersatu Sabah (PBS), kemudiannya membalas:
"Saya boleh tunjukkan
kamu artikel berkaitan."
Suasana semakin tegang
apabila Yong dilihat semakin merapati Chong, tetapi hasil kecekapan pihak polis
mengawal keadaan, suasana yang tidak diingini berjaya dielakkan.
Kedua-dua mereka kemudiannya
duduk secara bersebelahan. Sementara itu, orang ramai dilihat semakin
membanjiri tempat itu untuk menyaksikan apa yang berlaku.
Sebelum itu, Yong yang
bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Likas, terlibat dalam ceramah SAPP
yang terletak hanya bersebelahan dengan ceramah Pakatan itu.
Selepas ketegangan itu, Yong
bagaimanapun terus berada di majlis itu dan mendengar ceramah yang disampaikan
oleh calon DAP untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan D Edwin Bosi dan calon
PKR DUN Api-Api Christina Liew.
Bagaimanapun, sepanjang masa
itu, kerap kali kedengaran sorakan boo dan 'debat' dari orang ramai.
Kehadiran orang ramai untuk
majlis ceramah PR dan SAPP adalah hampir sama, iaitu kira-kira 1,000 orang.
Chong sebelum ini pernah
bertanding menentang Yong, Mantan Ketua Menteri Sabah untuk kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Likas pada tahun 1999 tetapi kalah.
No comments:
Post a Comment