oleh : ASPAN ALIAS
Benarkah negara ini negara yang aman? Benarkah
rakyat negara kita bukan seperti setengah negara di Afrika dan banyak negara
lain yang setiap rakyat bebas ke sana ke mari dengan selamat? Jika benar negara
kita sebuah negara yang selamat untuk bergerak bebas kenapa setiap hari dan
minggu kita mendengar tembakan dan pembunuhan berlaku terhadap manusia dan ia
berlaku di mana-mana.
Terbaru ialah percubaan
membunuh Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan di Bahau. Sebelum ini Timbalan Ketua
Pengarah Kastam Di Raja Malaysia, Shaharuddin juga di tembak di persimpangan
jalan di Putrajaya. Bunuh membunuh sudah menjadi begitu lumrah dan ia disyaki
berlaku kerana pihak berkuasa terutama polis dan lain-lain yang terbabit dengan
kegiatan jenayah besar atau melindungi penjenayah kerana ada unsur rasuah yang
tidak terkawal.
Apakah benar negara kita
negara selamat? Ini persoalan sangat
penting sehingga hari ini tidak ada pihak dapat diyakini kita semua berada
dalam sebuah negara yang boleh di kategorikan sebagai negara yang aman.
Sanjeevan dikatakan menjadi
mangsa penjenayah apabila beliau memberi isyarat yang beliau akan membongkar
sindiket kegiatan dadah yang mungkin melibatkan polis. Jika ia benar tidak
sepatutnya Menteri bertanggungjawab awal-awal lagi menafikan yang polis terlibat
dengan kejadian ini. Elok dilakukan penyiasatan dahulu.
Pembunuhan Timbalan Ketua
Pengarah Kastam diRaja Malaysia dahulu juga disyaki ada kaitan dengan tugas
beliau sebagai seorang penguatkuasa kerajaan tinggi dengan kuasa berada di
tangan beliau. Jika kita lihat dan pandang betul-betul mereka yang menjadi
mangsa pembunuhan atau cubaan membunuh itu melibatkan orang dalam jabatan dan
tugasan membabitkan perniagaan.
Selain itu, di mana-mana
berlaku jenayah yang menakutkan rakyat negara ini. Beberapa minggu lalu, tidak
jauh dari rumah saya berlaku usaha membunuh seorang doktor apabila sekumpulan
bersenjatakan parang menetak doktor pakar wanita itu sehingga putus empat
jarinya serta hampir memutuskan lengannya.
Kalau disenaraikan perlakuan
jenayah seperti ini ia amat menakutkan kerana terlalu banyak jenayah melibatkan
nyawa manusia berlaku seperti ia perkara biasa sahaja. Kita hanya mendengar
pembunuhan seperti ini hanya berlaku di Columbia dan beberapa negara di Selatan
Amerika sahaja. Saya percaya lebih ramai lagi manusia mati dibunuh penjenayah
daripada kematian anggota tentera yang berperang dengan musuh negara di hutan
belantara dan sempadan negara.
Setiap waktu dan masa kita
membaca yang pembunuhan berlaku di mana-mana. Banyak di antara pembunuhan ini
berlaku berkaitan dengan perniagaan dan wang ringgit. Itu jenayah kolar biru.
Bagaimana pula dengan jenayah kolar putih?
Mendengar pemimpin itu
rasuah sana sini sudah menjadi pendengaran biasa. Itu pun jenayah yang tidak
kurang bahayanya dari jenayah pembunuhan nyawa manusia. Jenayah berkolar putih
ini amat merbahaya kepada rakyat negara dan jika ini tidak dapat dikawal ia
akan menjadikan negara kita tidak aman lagi. Rasuah yang tidak henti-henti
dilakukan ini akan membawa banyak mudaratnya kepada rakyat dan negara, kerana
jenayah berkolar putih ini berlaku dalam skala besar dan akhirnya ia pernah
melibatkan pembunuhan kepada manusia yang melakukan jenayah rasuah ini.
Jenayah tidak kira ia
berkolar putih atau berkolar biru adalah sama. Tidak ada bezanya penjenayah
seperti Botak Chin dahulu dengan perasuah dan peragut harta awam yang banyak
itu. Kita perlu menganggap sesiapa yang melakukan rasuah itu sebagai peragut
atau penyamun dan perompak itu sama
sahaja tarafnya dengan Botak Chin yang sangat terkenal dengan keganasannya
merompak pada akhir 70-an dahulu.
Semuanya ini melibatkan
keselamatan awam. Malangnya kita tidak mahu memberikan pengiktirafan yang
penyamun dan perompak kolar putih itu sama kategorinya dengan penyamun berkolar
biru itu.
Jika benar percubaan
pembunuhan terhadap Sanjeevan ini kerana ada pihak tidak senang dengan
tindakannya untuk membongkar sindiket dadah melibatkan pihak Polis ia adalah
satu kejadian sangat menakutkan rakyat ramai. Yang mengesaki tentang
penglibatan Polis dalam isu ini adalah bekas Ketua Polis Negara, Musa Hasan
sendiri dan ini bukan perkara mudah untuk diselesaikan jika apa yang beliau
syaki itu adalah benar.
Ramai merasakan kehidupan
mereka tidak lagi aman dan tenteram kerana kita mendengar yang pihak yang
sepatutnya melindungi orang ramai sendiri sudah dipersoalkan kejujuran mereka
memikul tanggungjawab melindungi rakyat itu. Jika Polis tidak boleh dipercayai,
Mahkamah tidak boleh diyakini serta pemimpin pula tidak boleh berlaku adil dan
bersih ia amat menakutkan rakyat. Jika yang ditugaskan melindungi negara itu
sendiri terlibat dengan jenayah yang mereka patut mencegahnya, maka tiada
lagilah rakyat yang dahagakan keamanan itu tempat untuk berlindung.
Jika semuanya terlibat maka
tidak akan ada pihak yang boleh melakukan apa-apa untuk menjaga kesejahteraan
negara. Jika kita mengakui perkara-perkara yang berlaku ini melibatkan pihak
penguatkuasa undang-undang, maka kita sekarang seolah-olah berada dalam sebuah
negara yang tidak aman keseluruhannya.
Kadang kala ada kecederungan
untuk mempercayai yang negara kita seolah-olah berada dalam darurat. Darurat
dari pemikiran dan darurat dalam segala-galanya. Harta benda rakyat tidak
selamat, kesejahteraan rakyat tidak terjamin dan keselamatan negara sendiri pun
belum pasti dapat dilindungi.
Jika semua pihak lebih
mementingkan kedudukan dan kekayaan diri dan keluarga sendiri maka tidaklah
lagi sempurna kehidupan dalam sebuah negara yang dikatakan sudah merdeka dan
aman damai ini.
Lebih teruk lagi ada
kumpulan yang hanya mementingkan bangsa dan warna kulitnya sendiri sahaja
dengan menyanyikan lagu lama yang mengelirukan orang ramai. Tajuk lagu yang
saya maksudkan itu ialah ‘multiracialism’.
Sampai bila kita tidak akan
aman. – aspanaliasnet.blogspot.com, 1 Ogos, 2013.
* Ini adalah pendapat
peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment