Friday 10 May 2013

21 PASANGAN DIKESAN GUNA SIJIL PALSU






TAWAU : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Tawau, mengesan 21 pasangan yang menggunakan sijil kursus pra perkhawinan palsu untuk mendaftar perkhawinan.

Ada kalangan pasangan terbabit yang mengaku membeli sijil berkenaan daripada satu sindiket yang berpotensi di daerah ini dengan harga di antara RM150 sehingga Rm250 setiap sijil.

Pegawai Tadbir Agama Jheains Tawau, Abdul Imam Basirun berkata semua sijil yang dihantar didapati palsu dan didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya, Jheains terpaksa membatalkan pendaftaran perkhawinan mereka selepas pihaknya berjaya mendapatkan maklum balas pengesahan daripada pihak JAWI sendiri.

"Hasil siasatan yang dilakukan pihak Jheains mendapati palsu dan pihak JAWI sendiri mengesahkan tidak pernah keluarkan sijil kepada individu terbabit.

"Kita tidak faham kenapa orang ramai sanggup membelanjakan wang pada harga sehingga RM250 setiap sijil, sedangkan harga biasa bagi kursus terbabit yang dijalankan oleh Jheains Tawau hanyalah RM100 sahaja," katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurutnya, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa.

"Kita minta masyarakat di daerah ini supaya tidak terpengaruh dengan sindiket ini yang menawarkan jalan pintas bagi pasangan yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka dengan segera," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat kepada pihaknya sekiranya ditawarkan sijil pra perkahwinan seumpama ini.

Katanya, jangan sesekali memilih kaedah ini kerana sesiapa yang didapati menggunakan dan memalsukan sijil pra perkahwinan boleh didakwa mengikut Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUUKI) 2004, kerana membuat akuan penyataan palsu.
"Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya. (Citra Utusan)

No comments:

Post a Comment