Saturday 11 May 2013

HUKUM PENGKHIANAT SEBELUM TERLAMBAT






Saudara Pengarang,

SAYA, Zulkifli Teo (gambar) ingin mendedahkan sedikit sebanyak mengenai penyelewengan ahli-ahli UMNO keseluruhannya. Darjah kepanasan PRU-13, sudah semakin menyurut tetapi riak kemarahan yang masih bergelombang, belum dapat diredakan, sekalipun rahsia peti undi telah diketahui.

Walaupun keputusan rakyat Sabah masih memihak kepada BN dan terus kekal dengan jolokan 'Fixed Deposit' namun kehilangan 12 kerusi DUN dan Tiga kerusi parlimen di Sabah adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali.

Agak mengejutkan, kerana ketika proses penamaan calon dijalankan, telah berlaku 'unpredictable history' kerana dalam sejarah demokrasi tanah air kita, jurang peratusan bilangan calon bebas (berasal dari Komponen BN) amat jauh berbeza sekali jika dibandingkan dengan PRU yang lepas.

Kemunculan golongan 'desperado' bukan sahaja berupaya mengusarkan hati para pemimpin atau calon BN yang bertanding; malah bakal terdedah dengan perbuatan jahat, khianat atau tindakan di luar jangka dan boleh mendatangkan kerugian besar kepada parti, mahupun rakyat secara keseluruhannya.

Kehilangan beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Sabah mungkin boleh dijadikan indikasi kepada perkembangan senario politik semasa yang tidak menentu akibat kegiatan melobi calon dan menuding jari kepada pucuk pimpinan parti setelah mereka tidak dipilih sebagai calon.

Saya amat tertarik dengan cebisan kenyataan Ketua Umno Bahagian Kalabakan yang mencadangkan kepada pucuk pimpinan BN Pusat supaya mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan perbuatan sabotaj pada parti sepanjang tempoh berkempen PRU-13 baru-baru ini.

Secara jujurnya, saya menyokong penuh saranan Datuk Ghaffur Salleh memandangkan perbuatan sedemikian disifatkan sebagai amat serius kerana bukan sahaja mampu mencemarkan kredibiliti atau imej parti; tetapi secara tidak langsung menjejaskan prestasi undi calon BN di setiap kawasan yang ditandingi rentetan daripada penyebaran fakta yang tidak berasas dan tuduhan liar semata-mata

Pimpinan UMNO BN harus menyedari perkara ini dan bersedia mengambil sebarang langkah drastik bagi mengelak perkara yang sama daripada berlaku untuk beberapa tempoh akan datang.

Saya yakin dengan adanya hukuman yang lebih tegas kepada mana-mana pengkhianat parti atau dalam erti kata lain 'gunting dalam lipatan'; usaha ke arah mengimarahkan semangat taat setia, rasional dan berfikiran positif di kalangan ahli parti komponen BN berkemungkinan besar berada pada landasan yang tepat

Salam Hormat,

ZULKIFILI BIN JOSEPH TEO

No comments:

Post a Comment