Wednesday 8 May 2013

PEMIMPIN ASING UCAP TAHNIAH KEPADA NAJIB






KUALA LUMPUR : Ramai pemimpin asing mengutuskan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sempena kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad lepas.

Semalam, perdana menteri menerima ucapan tahniah melalui telefon daripada rakan sejawatan beliau David Cameron dari United Kingdom, Yingluck Shinawatra (Thailand) dan Lee Hsien Loong (Singapura).

Beliau juga menerima ucapan tahniah daripada Putera Mahkota Abu Dhabi Jen Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Perdana Menteri Australia Julia Gillard pula menghubungi Najib melalui telefon pada pukul 1 tengah hari Selasa untuk menyampaikan ucapan tahniahnya.

Najib berbual selama lebih kurang 10 minit dengan Julia selepas mempengerusikan perjumpaan khas dengan anggota parlimen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Lebih ramai pemimpin asing dijangka menghubungi Najib untuk mengucapkan tahniah hari ini.

Pada PRU13 Ahad lepas, BN memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Semalam, Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini.

Kenyataan Suruhanjaya Tinggi Britain di sini hari ini berkata Cameron menghubungi Najib untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau pada PRU13.

"Perdana Menteri Britain secara peribadi menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak melalui perbualan telefon malam tadi.

"PM Cameron menegaskan tentang pentingnya perubahan politik dan ekonomi terus dilakukan sebagai susulan kepada usaha yang dilaksanakan sebelum ini.

"PM Cameron berkata beliau berharap hubungan dua hala antara UK dan Malaysia akan terus dipertingkat," kata kenyataan itu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment