KUALA LUMPUR : Calon yang
tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13), boleh
mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas
pewartaan keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Pengerusi SPR Datuk
Wan Ahmad Wan Omar berkata tempoh untuk berbuat demikian ialah 21 hari selepas
tarikh pewartaan.
Menurutnya, SPR dijangka
selesai mewartakan keputusan PRU13 itu dalam masa dua minggu.
Katanya petisyen itu boleh
dikemukakan di Mahkamah Tinggi di negeri masing-masing dan akan diselesaikan
dalam masa enam bulan.
"Sekiranya mereka masih
tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka boleh membuat
rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk keputusan muktamad," katanya ketika
diwawancara dalam rancangan 'Helo Malaysia' terbitan BernamaTV, Isnin malam.
Menurut beliau pada PRU
2004, SPR menerima lebih 30 petisyen berhubung keputusan PRU dan petisyen yang
paling banyak diterima ialah pada PRU 1999 yang melibatkan 40 petisyen.
Pada PRU 2008 hanya 26
petisyen yang dikemukakan sedangkan ketika itu berlaku tsunami politik yang
tidak berpihak kepada Barisan Nasional.
Katanya sesuatu petisyen
boleh dibuat atas sebab-sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang
mungkin telah menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang-undang dan
peraturan pilihan raya.
"Rakyat berhak mencabar
keputusan PRU, tetapi melalui saluran undang-undang. Jangan pergi ke jalan raya
berdemonstrasi dan memanggil seluruh dunia menceritakan kami tolak PRU,"
katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment