Friday, 1 July 2011

13 NGO SOKONG KEPIMPINAN MUSA



GABUNGAN Persatuan Suku Kaum Bumiputera Sabah (GPSBS) yang terdiri daripada 13 persatuan suku kaum melantik Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Gabungan itu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO), Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang mewakili GPSBS, berkata gabungan persatuan itu turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, untuk terus menerajui kepimpinan negeri.

"Kami semua di GPSBS menyokong dan akan tetap setia kepada pucuk pimpinan negeri di bawah Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) yang telah banyak membawa perubahan dan pembangunan di Sabah.

"Kami juga berdiri teguh untuk mempertahankan kepimpinan Musa," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Selain USBO, gabungan itu turut disertai Persatuan Kedayan Sabah, Pertubuhan Bajau Sama, Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Persatuan Iranun, Persatuan Ubian, Persatuan Murut, Persatuan Rungus, Persatuan Tabilong, Persatuan Bugis, Persatuan Bangsa Brunei dan Persatuan Lundayeh.

Rabu lepas, Gabungan Persatuan itu telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri bagi menyatakan pendirian mereka menentang perhimpunan haram yang bakal diadakan pada 9 Julai ini.

Wakil-wakil GPSBS dilaporkan bimbang dengan perhimpunan haram itu dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan dan kebaikan bersama. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment