Friday, 8 July 2011

FESTIVAL SANDAKAN JENDELA BUDAYA BANGSA



PERCUMA.....Hj Alipuddin menjemput orang ramai datang menyaksikan pertandingan tersebut percuma.

OLEH: SHAIMON S JUMADI

SEMPENA Festival Sandakan 2011 yang bakal disambut secara besar-besaran bermula dari 13 hingga 17 Julai ini di daerah Sandakan akan mengetengahkan berbagai program menarik sebagai sajian pengunjung, khususnya warga Sandakan dan para pelancong.

Antaranya Pertandingan Daling-Daling dan Persembahan Kebudayaan Pelbagai Etnik selama empat hari berturut-turut bertempat di Dewan Masyarakat Sandakan; bermula dari jam 9.00 pagi hingga ke malam anjuran bersama Persatuan Kebudayaan Dan Kebajikan Bajau Samal Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS)

Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bajau Samal Sandakan, Haji Alipuddin Hj Puyon (gambar sisipan) yang menghubungi Sabahkini.Net Wilayah Sandakan menjelaskan, tujuan mengadakan program seumpama itu adalah untuk mengetengahkan dan mengenali lebih dekat lagi kebudayaan etnik masing-masing yang ada di Sandakan ini untuk ditonjolkan kepada masyarakat setempat.

‘”Apa saja bangsa dan kaum yang ada di bumi nyata ini sememangnya mempunyai budaya adat resam masing-masing yang berbeza-beza, walaupun seagama dan bukan seagama. Festival ini adalah Jendela Budaya Bangsa,” ujar Hj Alipuddin yang memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Au Kam Wah akan menyempurnakan pelancaran festival tersebut.

Kata Hj Alipuddin, orang ramai di sekitar daerah Sandakan adalah dijemput datang beramai-ramai pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan. Kemasukan adalah PERCUMA.

No comments:

Post a Comment