Friday, 8 July 2011

KEJOHANAN SEPAKTAKRAW PIALA ASIARASA



Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

GANJARAN hampir RM 4,000 menanti Juara, Naib Juara, tempat Ketiga dan Keempat pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asiarasa bagi edisi yang ke 9 yang berlangsung selama dua hari bermula 9 dan 10 Julai ini.

Kejohanan yang akan diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom itu terbuka kepada mana-mana kelab sukan atau pertubuhan di daerah Tenom dan sekitarnya.

"Tarikh tutup penyertaan ialah pada pukul 3 petang hari ini (Jumaat) dan majlis pengundian pertandingan akan dijalankan sejurus selepas itu di Asiarasa Bed N Breakfast Tenom.”

Pengurus Restoran Asiarasa, Jamawi Jaafar berkata, kejohanan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Restoran Asiarasa sebagai satu tanggungjawab sosial khususnya untuk mengembangkan sukan sepak takraw di daerah ini.

“Selain membangunkan mutu sukan, khususnya sukan sepak takraw di daerah ini, kejohanan ini diharap akan menjadi medan untuk kita mencungkil bakat-bakat sukan, khususnya sukan sepak takraw untuk diketengahkan ke peringkat daerah, bahagian, negeri dan kebangsaan,” katanya ketika di temui di sini kelmarin.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom tanggungjawab untuk membangunkan mutu sukan tidak hanya menjadi tanggungjawab kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan namun semua pihak termasuk sector swasta dan syarikat berperanan untuk mengembangkan dan memajukan sukan di negeri ini.

“Dengan adanya kejohanan seperti ini, bukan sahaja bakat sukan dapat kita tonjolkan, namun dalam masa yang sama, kita berjaya menarik golongan muda dalam aktiviti riadah dan ini sekaligus dapat menghindarkan mereka terjebak dengan pelbagai elemen negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” tambah Jamawi

Dalam pada itu Jamawi berkata, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom selama ini turut memainkan peranan dalam mengaktifkan aktiviti sukan di setiap cawangan pergerakan itu dengan menyalurkan pelbagai bantuan peralatan sukan.

“Kita yakin dengan sumbangan ini, aktiviti sukan dapat dijalankan di setiap cawangan pergerakan pemuda dan kejohanan ini adalah pentas bagi mereka mempamerkan bakat dan kebolehan mereka untuk bersaing di kejohanan yang lebih mencabar kemampuan mereka,” katanya.

Bagi pasukan yang berminat dan mahu mendapatkan keterangan lanjut, boleh menghubungi Asiarasa Bed N Breakfast, Asiarasa 3, Asiarasa Chicken Rice N Noodle; serta Speedway Sport bagi mendapatkan borang dan keterangan lanjut kejohanan ini.

No comments:

Post a Comment