MESRA…Lajim bersalaman dengan orang ramai sejurus tiba di majlis tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
Muzik boleh dijadikan alat bagi mencapai perpaduan kerana ia merupakan warisan budaya yang dikongsi bersama oleh semua kaum.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, kaum-kaum di Malaysia akan didekatkan bersama melalui penganjuran pesta-pesta muzik memandangkan muzik merupakan perantaraan budaya.
“Ia merupakan warisan budaya yang dikongsi bersama oleh semua kaum di Malaysia dan dengan menghargai muzik masing-masing kita akan mencapai muhibbah melalui muzik,'' katanya menutup Pesta Gambus Zon Menumbok, ahad lepas
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Menumbok, Ag.Tajudin Haji Ag.Bahar; Pengerusi Penganjur Pg.Haji Awang Jaafar Pg Osman dan Bekas Wakil Rakyat Kuala Penyu, Datuk John Ghani
Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, golongan muda yang mempunyai bakat dalam bidang muzik wajar dipupuk dan diberi galakan bagi membolehkan mereka menjadi penghibur bertaraf dunia.
Bagi mencapainya, kata beliau, kerajaan bersama badan kebudayaan yang ada di negeri ini perlu mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi membolehkan bakat-bakat muzik klasik dan genre muzik lain mengembangkan kemahiran dan bakat mereka termasuklah penganjurkan pesta tersebut.
“Pesta seperti ini perlu dimartabatkan dan mendapat sokongan dari semua pihak dan boleh dijadikan platform bagi mempromosikan pertunjukan seni muzik, sekali gus mampu dijadikan wadah bagi melahirkan pemuzik bertaraf dunia,'' katanya.
TAHNIAH…Lajim diiringi oleh Ag.Tajudin Haji Ag.Bahar dan Pengerusi Penganjur Pg Jaafar ketika menyampaikan hadiah kepada johan pesta tersebut, Anak Warisan Menumbok yang mewakili zon Menumbok.
Lajim berkata, pertandingan berterusan disertai dengan kesungguhan, latihan di samping usaha memasyarakatkannya kepada generasi muda, perlu dilestarikan agar seni muzik gambus dan seni muzik yang lain tidak pupus di telan zaman.
Menurut Lajim, muzik merupakan industri yang besar di dunia tetapi di negeri ini masih belum bertapak kukuh kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkannya agar berdaya maju dan berdaya saing.
“Ada banyak aspek dalam industri ini yang boleh digalakkan di negeri ini, termasuk mengeluarkan peralatan muzik, pengedaran, pendidikan muzik, penganjuran acara dan pengurusan pemuzik,'' katanya.
Sementara itu, kumplan Anak Warisan yang mewakili Zon Menumbok muncul sebagai johan pesta tersebut dan akan wakili zon tersebut ke pertandingan peringkat bahagian .
No comments:
Post a Comment