Thursday, 14 July 2011

TAMU TRANSPAGALAN JANA EKONOMI SETEMPAT



TAHNIAH….. Kurup ucapkan tahniah di atas usaha JKKK mewujudkan tamu di Kg.Kapayan Baru.

Oleh : ROZIE JUMAT

SEBUAH tamu bakal diwujudkan di Mukim Trans Pagalan berikutan bangunan gerai di kampung Kapayan Baru telah disiapkan sepenuhnya sebagai usaha penduduk kampung menjana ekonomi mereka secara kendiri dan akibat lonjakan sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenan, Nicholas Udong berkata, bangunan gerai itu didirikan di tebing Sungai Pagalan bakal menjana ekonomi penduduk kampung dan sekitarnya apabila beroperasi kelak.

"Kami berterima kasih di atas keprihatinan Ahli Parlimen yang telah meluluskan pembinaan bangunan gerai ini atas permintaan dari masyarakat kampung," kata Nicholas ketika perasmian bangunan gerai itu sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat oleh Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup.

Katanya, secara amnya, Kampung Kapayan Baru telah menerima banyak perubahan dan projek pembangunan yang membawa manfaat kepada penduduk kampung seperti empangan sungai mengairi tanah-tanah sawah.

“Boleh dikatakan kampong ini tidak ketinggalan, tetapi sudah menjadi resam manusia tidak akan pernah puas-puas dengan pencapaian kampungnya. Kami berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan terhadap kampung kami,” katanya turut menyebut senarai-senarai projek dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Berhubung tamu tersebut, Nicholas berkata mereka mahu jadikan tamu yang bakal diwujudkan itu dapat memberi ruang kepada penduduk memasarkan hasil produk mereka dan disokong oleh masyarakat di pedalaman kelak.

Sementara itu, Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, beliau berbangga dengan sikap berinovasi penduduk kampung dan meminta kemudahan tersebut dijaga dengan baik.

“Kita sememangnya sangat mahukan rakyat kita maju dan mempunyai sikap untuk memajukan diri,” kata Kurup yang turut menasihati rakyat menjaga kebersihan sungai dengan tidak menjadikan sungai sebagai tempat membuang sampah.

No comments:

Post a Comment