KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak terikat
kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk
menetapkan tarikh pilihan raya.
Beliau yang juga Pengerusi
BN dan Presiden Umno berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga
bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum
ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain
termasuk pilihan raya.
“Dalam sejarah kita, kita
pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan raya tahun 1986 kalau tak
silap saya. Ada ahli jawatankuasa bahagian saya yang kebetulan hendak dicalon
menjadi calon pilihan raya tapi saya tak dapat berhubung dengan dia sebab dia
berada di Makkah.
“Bila dia balik, dia terima
hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat sebab kalau dia bertanding, dia
menang pada masa itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku
Adnan Mansor.
Beliau berkata demikian
ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang
mendakwa Perdana Menteri akan menanggung dosa sekiranya pilihan raya diadakan
pada musim haji.
Najib berkata kerajaan tidak
menyekat sesiapa pun yang ingin menunaikan haji, dan mereka wajib meneruskan
untuk menunaikan ibadah itu jika ketetapan telah dibuat (untuk mengerjakan
haji).
Diminta mengulas senario
debat antara pemimpin parti politik yang semakin kerap diadakan kebelakangan
ini, Najib berkata debat bukanlah budaya yang menyeluruh dalam sistem politik
negara tetapi boleh diadakan jika keadaan memerlukan.
Ditanya sama ada beliau akan
menerima pelawaan debat dengan pembangkang, Najib berkata: “Saya tak kata
apa... yang penting rakyat mesti ada maklumat secukupnya untuk buat keputusan.”
Perdana Menteri berkata apa
yang penting adalah rakyat mempunyai maklumat secukupnya untuk memilih pihak
mana yang lebih layak mentadbir negara.
“Kita beri parti politik
untuk siarkan manifesto bila sampai masanya dan mereka pun cukup aktif sekarang
buat ceramah setiap hari... dan kita pun terangkan kepada rakyat jadi mereka
dapat maklumat yang secukupnya untuk buat keputusan.
“Sama ada agenda kita lebih
baik atau agenda pembangkang lebih baik. Sama ada kita ada kemampuan untuk
laksanakan, tunaikan atau pembangkang lebih meyakinkan kepada rakyat. Itu mesti
kita paparkan kepada rakyat bukan soal debat,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment