SEORANG penyanyi mak nyah
yang dikatakan popular di Kelantan dengan nama Kajol, mengaku insaf di hadapan
hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu dan berjanji untuk berkelakuan baik.
Kajol atau nama sebenarnya
Mohd Hafiz Jeffri, 25, juga tampil dengan memakai kopiah ketika hadir ke
mahkamah semalam, lapor Berita Harian.
Dalam pengakuannya di
hadapan Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah, penyanyi berkenaan berkata beliau mahu
menjadikan tindakan yang dikenakan ke atasnya itu sebagai pengajaran.
Mahkamah Rendah Syariah pada
21 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara sebulan atas kesalahan berperwatakan
seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai ketika membuat
persembahan di satu tapak ekspo di Tanah Merah, Kelantan.
Hakim Syarie semalam
bagaimanapun memutuskan untuk mengenepikan hukuman penjara sebulan atas
kesalahan itu, namun mengekalkan hukuman denda RM1,000 atau penjara lima bulan
sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah Tinggi Syariah juga
menetapkan syarat supaya Kajol berkelakuan baik dan tidak mengulangi kesalahan
berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
Kajol yang membayar denda
berkenaan dilaporkan berkata, beliau akan cuba berubah dan berjanji untuk
mengurangkan aktiviti persembahannya.
No comments:
Post a Comment