Pengulas: UTHAYA SANKAR SB
SEBELUM ini, apabila
berpeluang membaca antologi “Body 2 Body: A Malaysian Queer Anthology” (2009),
saya sedikit terkejut dengan 'keberanian' para penulis terbabit memperkatakan
isu-isu yang dianggap (ulang: dianggap) tabu dan sensitif dalam konteks negara
Malaysia.
Bagaimanapun, ternyata 'Body
2 Body' jauh lebih 'ringan' jika dibandingkan dengan “GASPP: A Gay Anthology of
Singapore Poetry and Prose” (2010) yang menyajikan karya-karya yang lebih 'berat'
dan 'berani' dalam meneroka isu-isu seksualiti bersifat 'alternatif'.
Saya berpeluang memiliki
antologi ini sewaktu menyertai Makassar International Writers Festival di
Sulawesi Selatan, Indonesia (13-17 Jun 2012). Kebetulan, peserta/penulis dari
Singapura, Ng Yi-Sheng adalah salah seorang penyunting bagi antologi berkenaan.
Antara penulis yang karya
mereka termuat dalam antologi penuh kontroversi ini ialah Alfian Sa’at, O Thiam
Chin, Irfan Kasban, Ash Lim, Nicholas Deroose dan Jabir Yusoff.
Karya-karya Bahasa Melayu,
Inggeris dan Mandarin dalam antologi setebal 223 halaman ini termasuk puisi,
fiksyen, memoir, esei dan karya eksperimental. Batas antara 'fiksyen' dan 'fakta'
pula agak kabur dan terpulang kepada pembaca untuk memutuskan jika penulis
menghasilkan 'fiksyen' berdasarkan pengalaman sendiri.
Yi-Sheng yang karyanya turut
termuat dalam antologi sulung para penulis LGBT (lesbian, gay, bisexual &
transgender) Singapura menjelaskan bahawa buku ini mampu membantu khalayak
antarabangsa lebih mengenali kelompok pengarang LGBT di republik berkenaan.
Dr Audrey Yue, Ketua Jabatan
Pengajian Filem dan Kebudayaan, Universiti Melbourne dalam kata pengantar
menyebut bahawa antologi ini merupakan legasi kepada penglibatan golongan LGBT
dalam pelbagai bidang seni, budaya dan sastera Singapura.
Bahagian pengenalan pada
antologi ini memberikan maklumat yang sangat berguna mengenai realiti penulis
LGBT serta usaha-usaha yang dilakukan bagi menonjolkan kehadiran mereka
menerusi fiksyen; selain terlibat sebagai aktivis.
Kebanyakan penulis terbabit
juga dijangka menyertai acara “Freedom to Love” pada 30 Jun 2012 di Hong Lim
Park. Maklumat mengenainya terdapat di www.pinkdot.sg tetapi hanya warga dan
penduduk tetap Singapura dibenarkan mengambil bahagian. Warga asing pula boleh
hadir sebagai penonton.
Ketika ditanya, Yi-Sheng
mengakui bahawa beberapa kedai buku di Singapura menerima 'amaran' dan 'nasihat'
daripada pihak tertentu supaya tidak memperaga dan menjual antologi 'GASPP'.
Bagaimanapun, antologi ini tidak (belum?) diharamkan di republik berkenaan.
Saya belum pernah melihat
antologi ini di kedai-kedai buku Malaysia dan saya tidak akan berasa
hairan/terkejut sekiranya antologi ini diharamkan atas alasan gambar kulit buku
tidak sesuai dengan budaya kita!
Uthaya Sankar SB adalah
penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99). Novel 'Ugut'
bertema LGBT pernah disiarkan di The Malaysian Insider (18 September 2011 – 15
April 2012).
No comments:
Post a Comment