AGENSI Angkasa Negara
(Angkasa) menafikan laporan blog dan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap
selama tiga hari mulai 23 Disember berikutan kedudukan bumi, matahari dan pusat
Galaksi (Bima Sakti) akan berada pada kedudukan selari.
Di samping itu, laporan itu
mendakwa, kedudukan awan-awan debu gelap atau Dark Dust Clouds berhampiran
dengan Galaksi boleh menghalang penduduk dunia daripada melihat sebahagian
daripada Galaksi, menurut kenyataan akhbar agensi itu yang dikeluarkan di sini
semalam.
Menurut kenyataan itu,
berikutan senario tersebut, ada yang berpendapat bila bumi, matahari dan pusat
galaksi selari (sejajaran) maka akan berlaku penumpuan daya gravity daripada
bumi, matahari dan pusat galaksi sehingga boleh mengakibatkan kemusnahan alam
semesta.
Selain itu mereka turut
mendakwa bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari, di mana terdapat
awan-awan debu gelap berhampiran pusat galaksi maka bumi akan bergelap.
Angkasa berkata semua
andaian itu adalah tidak benar kerana pusat galaksi terlalu jauh dari bumi dan
matahari iaitu 165 quadrillion batu, jadi kesan tarikan gravity adalah terlalu
kecil.
"Awan-awan debu gelap
menghalang penglihatan kita ke arah pusat Galaksi bukannya menghalang matahari
daripada dilihat dari bumi," menurut agensi itu.
Malah, menurut Angkasa,
terdapat juga video YouTube oleh pihak NASA yang telah disalahguna oleh pihak
tertentu yang menunjukkan Pegawai Tabir NASA, Charles F. Bolden, Jr memberi
penerangan berkenaan persediaan peribadi dan keluarga sekiranya berlaku
kecemasan, iaitu merujuk kejadian 911, puting beliung, gempa bumi dan
sebagainya.
"Pihak-pihak tertentu
telah memanipulasi video tersebut dengan artikel “Bumi Akan Bergelap Pada 23,
24 Dan 25 Disember 2012”," katanya.
(Bernama)
No comments:
Post a Comment