BINCANG.....Perdana
Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berbincang dengan beberapa peserta di
program bersama belia di Bangsar, 14 November 2012.
Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Hubungan
golongan belia dengan kerajaan sangat penting dalam pembangunan negara, kata
Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam usaha untuk menarik undi golongan tersebut
kepada menyokong Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13.
Daripada laporan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR), golongan muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun yang
mendaftar kini mencecah 5,175,096 atau 40 peratus daripada jumlah keseluruhan
12,912,590 pengundi baru.
Perdana menteri (PM) yang
hadir semasa semasa program anjuran Agensi Inovasi Malaysia bersama belia di
Bangsar pagi ini berkata hubungan yang terjalin tersebut juga mampu memupuk
semangat kekitaan di kalangan belia kepada negara amnya.
“Hubungan belia dan kerajaan
penting untuk pembangunan negara, itu perlu diakui. Ia juga membantu mereka
memahami peranan mereka kepada negara,”
kata Najib.
Pada majlis sama dalam usaha
menarik sokongan belia kepada kerajaan, Najib juga mengumumkan program
"Cabaran Genovasi" kepada
belia dengan menawarkan hadiah utama berjumlah RM100 ribu kepada pemenang.
Najib turut menegaskan
golongan belia tanpa mengira fahaman politik perlu bekerjasama dengan kerajaan
untuk membentuk sebuah negara yang
membangun.
“Tanpa mengira fahaman
politik, golongan belia perlu turut serta bersama dalam usaha yang dijalankan
kerajaan,” kata PM lagi.
Menyedari golongan tersebut
antara penentu dalam PRU ke-13 ini, BN dan Pakatan Rakyat (PR) kedua-duanya
mula melakukan pelbagai kempen dan aktiviti untuk memancing undi daripada
golongan tersebut.
“Kehadiran saya disini bukan
sebab kerana pilihan raya semakin dekat. Tapi kerana idea golongan belia sangat
penting dan bernas yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam membangunkan
negara,” tambah Najib.
Di samping itu, beberapa
pemimpin belia yang ditemui The Malaysian Insider semasa program tersebut
mengalu-alukan langkah kerajaan tersebut tetapi mempersoalkan akan sejauh mana
keseriusan kerajaan.
"Ya, program PM bertemu
belia ini sangat baik terutamanya ia membantu beliau melihat dan mendengar
sendiri suara beliau ini.
"Tapi apakah kesinambungan
dan langkah pelaksanaan ke atas program sebegini? Saya harap pelaksanaannya
diteruskan dan tidak terhenti begitu
sahaja," kata Nurfarini Daing, ketua pegawai eksekutif untuk badan bukan
kerajaan (NGO), Youth Trust Foundation.
Seorang lagi presiden NGO,
Drug Free Youth Association, Khairuddin Aziz turut berharap langkah kerajaan
tersebut tidak terhenti selepas pilihan raya sahaja.
"Ya, ia baik. Tapi
harap ia akan terus bersambung dan tidak terhenti. Golongan belia adalah
golongan yang penting dan terdedah
dengan isu semasa dan perkembangan teknologi," kata Khairuddin yang banyak
mengendalikan konsert untuk belia.
Dalam program hari ini,
beberapa isu diberikan kepada peserta yang terdiri daripada golongan belia dan
mereka perlu mengulas serta memberi cadangan.
"Hari ini kami
diberikan isu yang melibatkan rakyat Malaysia, antaranya topik kebersihan,
kemalangan, perkhidmatan pelanggan dan
pelbagai lagi.
"Apabila duduk dalam
satu kelompok ini, pelbagai idea dan penyelesaian boleh dicapai. Ia juga akan
bantu kami melihat kesan dan reaksi PM sendiri mengenai isu yang dibincangkan
sekaligus membantu belia bertanggungjawab terhadap pembangunan yang dijalankan kerajaan,' kata Izzati Rahman,
pengasas Aktivis Muda Malaysia.
Kebanyakkan belia ini
dikategorikan sebagai ‘Generasi Y’ yang terdiri daripada kumpulan celik
teknologi, dilahirkan antara 1980 dan 2000.
Penganalisis politik
Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan
generasi tersebut ‘berfikiran bebas dan kesetiaan politik mereka tidak tetap’
kerana akses yang lebih luas kepada maklumat.
“Kedua-dua parti politik
perlu mengerah tenaga untuk memikat hati pengundi muda ini," kata beliau.
BN memperolehi 4.08 juta
undi pada tahun 2008 berbanding dengan PR 3.79 juta undi — perbezaan sebanyak
290,000 undi — manakala PR pula berharap
pengundi baru pada PRU akan datang boleh membantu menambahkan sokongan kepada
mereka.
Selain itu, Najib tampak
begitu dengan sokongan belia kepada BN menjelang PRU kali ini terutama selepas
kemenangan besar Proaspirasi dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
sesi 2012/2013 di institut pengajian tinggi. (TMI)
No comments:
Post a Comment