Oleh : LIM KIT SIANG
LAWATAN saya yang terkini ke
Sabah serta tiga hari jelajah “UBAH” DAP bersama pemimpin DAP ke Papar (Kg.
Tamui), Kota Belud (Kg Nahaba), Inanam, Matunggung (Kg. Pinaurat) dan Kudat,
jelas menunjukkan RM7.28 bilion daripada Belanjawan Alternatif 2013 Pakatan
Rakyat Sabah yang diumumkan bulan lepas, betul-betul tepat dan memberikan
tekanan ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan pemimpin Barisan
Nasional.
Sebagai contoh, dilaporkan
di dalam sebuah suratkhabar Sabah pada hari Jumaat yang Musa telah memberikan
dana berjumlah RM30.9 juta kepada 140 badan keagamaan bukan-Islam dan 266 sekolah termasuklah sekolah Cina persendirian
dan sekolah mubaligh di Sabah – terdiri daripada RM18 juta kepada badan-badan
keagamaan termasuklah gereja, rumah ibadat kaum Cina serta rumah-rumah ibadat
bukan-Islam yang lain dan RM12.9 juta kepada sekolah-sekolah.
Walaupun Musa mengatakan
“peruntukan yang besar untuk badan-badan keagamaan bukan-Islam mencerminkan
komitmen kerajaan Barisan Nasional menegakkan kebebasan agama dalam negara
ini”, jelas - sungguhpun lemah dan tidak memadai - merupakan respons kepada
teras keempat daripada lima teras Belanjawan Alternatif 2013 Pakatan Rakyat
Sabah iaitu “Memperkasakan masyarakat tempatan”.
Akan tetapi, kerajaan BN
Sabah telah jauh ketinggalan daripada apa yang Belanjawan Alternatif PR Sabah
usulkan.
Teras Belanjawan Alternatif
PR Sabah “Memperkasakan masyarakat tempatan” mengusulkan peruntukan RM50 juta
untuk sekolah vernakular, sekolah bantuan kerajaan, dan sekolah persendirian
tetapi kerajaan BN Sabah telah bertindak balas dengan peruntukan hanya RM12.9 juta.
Belanjawan Alternatif
Pakatan Rakyat Sabah mengusulkan RM50 juta kepada pertubuhan bukan-Islam (dan RM100 juta kepada
pertubuhan umat Islam, termasuklah RM3 juta untuk pendanaan menunaikan Haji
buat 300 orang bersamaan RM10,000 seorang) tetapi kerajaan BN Sabah hanya
menawarkan RM18 juta untuk badan-badan keagamaan bukan-Islam.
Teras keempat Belanjawan
Pakatan itu mempunyai 13 cadangan khusus yang belum menerima respon kerajaan BN
Sabah, termasuklah:
Di bawah Skim Graduan Anak
Sabah, RM2,000 akan diberikan kepada tiap-tiap pelajar yang melanjutkan pelajaran
tinggi untuk seisi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
Inisiatif ini dijangkakan menelan belanja RM14.4 juta dan dijangka memberikan
manfaat kepada lebih kurang 7,200 pelajar.
RM50 juta untuk biasiswa
kepada sesiapa yang mendapatkan pendidikan tinggi di dalam negeri. Keutamaan
diberikan kepada bakal doktor dan guru.
RM20 juta dana untuk
mempamerkan kepelbagaian kebudayaan melalui inovasi dan kreativiti.
RM40 juta untuk tujuan
pemeliharaan budaya dan warisan.
Bantuan permulaan sebanyak
RM20 juta untuk menubuhkan Sabah TV bagi tujuan menghasilkan program-program
untuk mempamerkan warisan budaya dan kepelbagaian negeri ini.
Empat teras lain Belanjawan
Alternatif Pakatan Rakyat Sabah mengandungi 30 lagi cadangan khusus untuk
memastikan kekayaan Sabah diagihkan dengan saksama, pertumbuhannya dicergaskan
semula dan golongan terpinggir di Sabah dikeluarkan daripada kemiskinan.
Walaupun Musa dan kerajaan
negeri BN Sabah belum lagi memberikan respon yang sewajarnya dan setanding
kepada cadangan-cadangan Belanjawan Alternatif 2013 PR Sabah, Ketua Menteri dan
BN Sabah telah mula melancarkan perang mulut ke atas DAP dan Pakatan Rakyat.
Contohnya, Musa memberikan
reaksi yang sangat tidak rasional dan janggal apabila saya mengatakan tentang
perbezaan besar di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat apabila berdepan
dengan cabaran besar Pilihan Raya ke-13, yang memperlihatkan sama ada BN
kembali berkuasa atau digantikan dengan Pakatan Rakyat di Putrajaya.
Saya telah mengatakan
apabila diuji perikatan politik yang mana bersedia untuk meletakkan kepentingan
negara mengatasi semua kepentingan lain, Umno dan BN yang begitu terdesak mahu
terus berkuasa, mengambil jalan lama tetapi dengan taktik “Pecah dan Perintah”
yang memecahbelahkan kaum dan agama yang pelbagai di negara ini.
Sementara parti-parti
Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS tetap dengan matlamat dan
mesej bersama untuk “Bersatu dan Perintah” kepada semua kaum, agama dan negeri,
menekankan kepada keperluan untuk semua rakyat Malaysia bersepakat sebagai
rakyat Malaysia yang satu bagi membina negara dengan satu visi yang sama.
Seorang lagi pemimpin BN
yang menyimpan keinginan terhadap jawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri
Shafie Apdal, turut memberikan respon kepada Belanjawan Alternatif Pakatan
Rakyat Sabah, menyeru supaya ditolak janji PR untuk meningkatkan royalti minyak
Sabah daripada lime kepada 20 peratus.
Shafie telah memberikan
hujah paling mengarut mendakwa bahawa peningkatan royalti minyak Sabah kepada
20 peratus akan menyebabkan perpecahan antara Sabah dan negeri-negeri Malaysia
yang lain.
Hujah Shafie penuh
kecacatan, memandangkan Pakatan bukan sahaja menuntut agar royalti minyak untuk
Sabah sahaja dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus, tetapi juga buat semua
negeri pengeluar termasuklah Sarawak, Terengganu, Kelantan dan tidak lama lagi,
Pahang. Tambahan lagi, terdapat baki 80 peratus daripada royalti minyak yang
boleh digunakan untuk pembangunan negara.
Setakat ini hanya Shafie
saja pemimpin BN Sabah yang berani menentang kenaikan royalti minyak Sabah
daripada lima kepada 20 peratus. Biarlah semua pemimpin BN Sabah
mengisytiharkan pendirian mereka terhadap isu ini supaya pengundi Sabah boleh
membuat keputusan sama ada mereka layak untuk disokong atau ditolak.
Semalam, sebuah akhbar Sabah
memaparkan tajuk berita berkenaan kenyataan Presiden UPKO Tan Sri Bernard
Dompok: “Janji PR hanya bagus di luar Sabah’”.
Bernard tidak berniat
sedemikian, tetapi hakikatnya beliau mengakui, yang Umno dan Barisan Nasional
berdepan dengan pertempuran sukar kalaupun bukan kekalahan memenangi hati
pengundi di Semenanjung Malaysia dan kini tinggal pengundi Sabah untuk
menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya tidak lama lagi.
Bernard teramatlah betul dan
inilah sebabnya mengapa saya telah menekankan dalam ucapan-ucapan saya ketika
jelajah UBAH di Papar, Kota Belud, Inanam, Matunggong dan Kudat sejak tiga hari
lalu bahawa pengundi Sabah adakah kuasa penentu (kingmaker) di Malaysia
memandangkan mereka akan bersama pengundi dari Sarawak dan Johor, membuat
keputusan siapa akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan siapa akan
menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak mengunjungi Kudat ketika lawatan terakhirnya ke Sabah, tetapi
beliau tidak menjelajah melalui jalan raya untuk mengalami sendiri apa yang
rakyat Sabah terpaksa alami – apa yang telah saya sebutkan sebelumnya sebagai
“jalan terburuk di Malaysia” – jalan yang amat teruk dan bagaikan neraka di Ulu
Kukut.
Sebaliknya, Najib terbang
dengan helikopter, melepasi Ulu Kukut, sepertimana Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyidin Yassin ketika lawatannya ke kawasan itu.
Selepas lawatan Ogos yang
mana saya telah twit berkenaan keadaan jalan Ulu Kukut yang telah tujuh tahun
dalam keadaan teramat teruk., kerajaan negeri Barisan Nasional memberikan
jaminan bahawa projek penambahbaikan jalan sepanjang tiga kilometer akan disempurnakan menjelang akhir September.
Akan tetapi, apabila saya
menuju ke Kg Pinaurat di Matunggong dan Kudat pada hari Ahad, detik seakan-akan
terhenti pada tiga bulan lalu di Ulu Kukut kerana tidak terdapat sebarang tanda
penambahbaikan pada keadaan jalan yang teruk itu.
Malah Najib sendiri tidak
berani menyebut tentang keadaan buruk jalan di Ulu Kukut ketika lawatannya ke
Kudat bulan lepas, dan beliau memilih untuk mengumumkan bahawa satu kajian
telah dijalankan ke atas lebuh raya pantai RM800 juta dari Tuaran menghubungkan
Kota Belud ke Kota Marudu dan ke Kudat – memintas Ulu Kukut sepenuhnya.
Adakah Perdana Menteri juga
telah berputus asa untuk menyiapkan penambahbaikan jalan raya di Ulu Kukut,
yang dipercayai merupakan projek bernilai RM70 juta, dan adakah Ulu Kukut akan
menjadi bukti nyata kegagalan kerajaan negeri BN Sabah pada PRU13?
No comments:
Post a Comment