KULIM: “Saya akan
bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,”
kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid
Kampung Padang Cina, di sini, baru-baru ini.
Mohd Fahmi berkata, dia dan
isterinya akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga
untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.
Menurutnya, atas persetujuan
kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik
mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.
“Saya mengambil keputusan
itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan
keluarga saya sendiri. Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan
kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah
bersedia menjadi seorang isteri.
“Daripada bergelumang
maksiat dan melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami
berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman
sekarang ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.
“Malah saya tidak menghalang
sekiranya isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada
kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini,
semalam.
Katanya, mereka akan
mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah
keluarganya.
Mohd Fahmi yang juga anak
sulung daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan
tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.
Isterinya, Nor Fazira tidak
mengganggap usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan
sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.
“Yang penting kami mendapat
restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada
keluarga mentua.
“Saya tidak kisah apa orang
lain kata, penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada
kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki
peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.
Sementara itu, bapa Nor
Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda
kerana mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.
Katanya, dia membenarkan
anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu
tinggal di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk
mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga
mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.
“Hanya Allah tahu perasaan
saya… walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga
besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.
“Anak saya bernikah pada 17
November lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur
daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.
Dia berkata, majlis
pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17
November lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.
“Saya berharap menantu serta
keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama
Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16
tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan
perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah
Syariah Kulim.
“Ia mengikut seksyen 18
(1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya. (Harian Metro)
No comments:
Post a Comment