KOTA KINABALU : “Sepatutnya
tugas kamu sebagai guru ialah mendidik, tetapi apa yang kamu lakukan ini
menjejaskan profesion perguruan,” kata Hakim Duncan Sikidol sebelum menjatuhkan
hukuman 36 tahun penjara dan empat sebatan ke atas bekas guru, Adrian Simon,
31, yang didapati bersalah merogol seorang murid warga Singapura.
Adrian didapati bersalah di
Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap dua tuduhan merogol murid berusia 11
tahun itu di sekolah berkenaan pada Februari dan Mac lalu.
Bagi tuduhan pertama, guru
Matematik dan Sains itu dihukum penjara 18 tahun dan dua sebatan kerana merogol
murid berkenaan di stor makmal sekolah antara jam 2.10 hingga 3.30 petang pada
Februari lalu.
Bagi tuduhan kedua, Adrian
dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di makmal jam 10.25 pagi pada
26 Mac lalu dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun serta dua sebatan.
Adrian dituduh melakukan
kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit
kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan
Pendakwa Raya Luke Ressa Balang manakala tertuduh diwakili Hairul Othman dan PJ
Perira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
Terdahulu, Hairul memohon
mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya berdasarkan kerjasama
diberikan kepada polis selain tiada rekod kesalahan lampau.
Bagaimanapun, permohonan itu
dibantah Luke dengan alasan tertuduh tidak seharusnya melakukan jenayah yang
menjatuhkan kredibiliti perguruan.
“Sebagai guru, tertuduh
bertanggungjawab mendidik murid, bukannya melakukan kesalahan jenayah. Kita
harus memikirkan tekanan dihadapi mangsa dan keluarga,” katanya.
Ketika penghakimannya,
Duncan mengakui walaupun kekurangan bukti daripada aspek perubatan, keterangan
mangsa meyakinkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.
“Selepas menimbangkan semua
bahan bukti, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui
keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah.
“Mahkamah bersetuju dengan
pihak pendakwaan, ibu bapa sudah memberi kepercayaan kepada tertuduh menjaga
muridnya, tetapi kepercayaan itu disalahguna dengan mengambil kesempatan
terhadap mangsa,” katanya.
Sepanjang perbicaraan selama
tiga hari bermula 6 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan
saksi, termasuk guru dan murid sekelas mangsa manakala pihak pembelaan
mengemukakan empat saksi.
Mahkamah mengarahkan hukuman
berjalan serentak menyebabkan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 18 tahun,
tetapi membenarkan tarikh hukuman ditangguhkan sementara Adrian memohon rayuan
di Mahkamah Tinggi.
No comments:
Post a Comment