Oleh : RUZAINI ZULKIFLI
KOTA KINABALU: Seorang
pengusaha kedai tayar kerugian kira-kira RM3 juta setelah premis perniagaannya
yang diusahakan sejak 32 tahun lalu, berhampiran pekan Lido di sini, musnah
terbakar dalam satu kejadian tengah hari kelmarin.
Insiden kira-kira jam 12.30
tengah hari itu membabitkan lot tingkat atas dan bawah blok bangunan kedai Hap
Loong Sdn Bhd, yang musnah sama-sekali sementara tiga unit premis termasuk
sebuah restoran turut terjejas.
Pemilik kedai tayar
berkenaan, Lee Gee Chung, 52, ketika ditemui berkata dia dan tujuh pekerjanya
pada waktu kejadian sedang menjalankan kerja seperti biasa apabila kebakaran
dikesan bermula kira-kira jam 11.40 pagi.
Menurutnya, sebaik salah
seorang pekerjanya memberitahu berlaku kebakaran kecil diakibatkan litar pintas
di dalam kedai terbabit, dia segera memeriksa dan mendapati api sudah marak dan
merebak dengan cepat.
“Bimbang keadaan menjadi
lebih teruk, saya kemudian mengarahkan semua pekerja keluar menyelamatkan
diri,” katanya, sambil menambah mereka hanya berjaya menyelamatkan beberapa
komputer riba dan dokumen penting sebelum kebakaran merebak dan api dengan asap
hitam menjulang tinggi.
Beliau mendakwa kerugian
dianggarkan kira-kira RM3 juta akibat kemusnahan barangan dan premis
perniagaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi, berkata pihaknya menerima
panggilan pada jam 12.44 tengah hari dan sebanyak lapan jentera telah
digegaskan ke lokasi kejadian.
“Dua jentera, dua artego dan
dua utiliti dengan kekuatan 31 anggota tiba di lokasi pada jam 12.50 tengah
hari dan kemudian berjaya mengawal kebakaran sekitar jam 3.30 petang.
“Kita mengalami sedikit
kesukaran ketika memadamkan api berikutan berlaku beberapa letupan kecil disebabkan
tayar serta minyak pelincir yang terbakar di premis itu,” katanya.
Beliau berkata tiada
kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca
kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Beberapa agensi lain turut
terbabit dalam operasi kelmarin, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Sabah Electrictity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan
Bekalan Air.
Sementara itu, Timbalan
Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai, yang turut berada di tempat kejadian
merakamkan simpati terhadap pengusaha-pengusaha perniagaan di situ dan berkata
bantuan kilat akan disalurkan kepada mereka yang terbabit mengikut prosedur.
“Saya merakamkan simpati
kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran ini dan kita akan berusaha
membantu mana-mana yang diperlukan,” katanya.
Yee yang juga Ahli Dewan
Undangan (ADUN) Api-Api, turut mengucapkan tahniah kepada semua agensi yang
terlibat kerana bertungkus-lumus memadamkan api, sekaligus mengelak berlaku
kemalangan jiwa. (UB)
No comments:
Post a Comment