TENOM: Mantan calon Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Tenom 2008, Adris Taripin (kanan sekali) mempertikaikan
keputusan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana
membenarkan parti-parti politik pro kerajaan terutamanya UMNO menjadikan
sekolah sebagai 'Anak Angkat' parti itu.
Beliau berkata, meskipun
parti UMNO adalah sebuah parti tulang belakang kerajaan, namun pada prinsip
perjuangannya adalah lebih terarah kepada semua urusan kepartian yang tidak
sepatutnya mengheret institusi kerajaan sebagai sebahagian daripada jenteranya.
Agak malang sekali kerana
alasan mereka kononnya untuk membantu sekolah sekolah berkenaan untuk terus
melahirkan modal insan yang cemerlang, namun pada hakikatnya ia dilihat lebih
kepada usaha parti itu untuk mempopularkan pemimpin dan parti mereka kepada
rakyat.
“Membantu sekolah daif
mahupun membangun minda pelajar supaya ramai pelajar mendapat cemerlang adalah
menjadi tugas dan tanggung jawab sesebuah sekolah dan kerajaan khususnya KPM
dan bukannya urusan parti.
“Jika parti pro kerajaan
dibenarkan berbuat sedemikian, adalah lebih baik semua parti politik dibenarkan
juga, tidak kira parti pro kerajaan mahupun pembangkang (kerana) ia dibuat
berlandaskan prinsip keadilan untuk semua,” tegas Adris.
Adris berkata, demikian
sebagai mengulas tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Tenom yang diketuai Jamawi
Jaafar baru-baru ini yang memutuskan bahawa beberapa buah sekolah di sini
dijadikan 'Anak Angkat' parti itu agar sekolah terbabit dapat melahirkan lebih
ramai modal insan cemerlang dalam persekolahannya.
Dalam pada itu, Adris
meminta KPM agar memberi penjelasan terhadap amalan seperti itu sama ada atas
restu dan arahan kerajaan mahupun di luar peraturan kerajaan; tetapi jika ia
dibuat sekadar memberi 'muka' kepada pemimpin berkenaan, sudah pasti ia menjadi
amalan salah.
Sekiranya kerajaan terus
membenarkan UMNO melakukan aktiviti seperti itu atas sifatnya sebagai sebuah
parti politik, maka tidak ada sebab pembangkang dihalang berbuat demikian
sedangkan kedua-dua UMNO dan PKR berstatus perjuangan politik dari aras yang
sama, tegas Adris.
No comments:
Post a Comment