PUTRAJAYA: Ketua Pengarah
Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman (kiri) hari ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah
Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan khalwat. Jika Dr Hasan,
56, gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama tiga bulan.
Beliau didakwa berkhalwat
dengan seorang pegawai kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan,
36, di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini kira-kira 2.18 pagi hari
ini.
Wan Syarifah Nooraazmanita
turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900
atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu. Mereka bagaimanapun membayar
denda itu.
Hakim Syarie Mohd Amran Mat
Zain mengenakan hukuman denda itu setelah mengambil kira bahawa ia merupakan
kesalahan pertama bagi kedua-dua mereka dan mereka telah mengaku insaf terhadap
kesalahan tersebut serta mempunyai niat melangsungkan perkahwinan selepas ini.
Dr Hasan didakwa mengikut
Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
manakala Wan Syarifah Nooraazmanita didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang
sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari
dua tahun jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang
dikemukakan oleh pendakwa syarie Che Saupi Che Husin dari Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (JAWI), sepasukan anggota penguatkuasa dari JAWI bertindak
memeriksa bilik tersebut selepas menerima maklumat awam.
Pasukan itu kemudiannya
mengetuk pintu bilik itu dan lebih kurang lima minit ia dibuka oleh Dr Hasan
yang berbaju kemeja berwarna biru dan berseluar coklat.
Selepas dibenarkan masuk
oleh Dr Hasan, pemeriksaan mereka mendapati Wan Syarifah Nooraazmanita yang
memakai baju dan berseluar hitam sedang duduk di kerusi berhampiran katil.
Hasil siasatan lanjut mendapati
Dr Hasan merupakan seorang duda dan Wan Syarifah Nooraazmanita masih lagi
isteri yang sah kepada pasangannya.
Wan Syarifah Nooraazmanita,
bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau dalam proses perceraian dengan
suaminya.
Ketika merayu hukuman ringan,
Dr Hasan berkata beliau mengaku bersalah dan bertanggungjawab atas kesalahan
itu dan beliau belajar daripada kesilapannya dan insaf. (Bernama)
No comments:
Post a Comment