ISLAMABAD : Pencerobohan
Israel di Gaza turut disentuh dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Persidangan
D-8 di sini Rabu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata, dalam
mesyuarat yang bermula kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, beberapa negara
telah membangkitkan krisis di Gaza dan Malaysia bakal menyuarakan pendapatnya
bila mesyuarat bersambung pada sebelah petang.
"D-8 adalah organisasi
yang membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi negara-negara anggota. Namun,
disebabkan keadaan yang memaksa, maka terdapat kemungkinan kita akan bincangkan
isu tersebut (Gaza)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, kelmarin.
Negara anggota D-8 terdiri
daripada Mesir, Iran, Pakistan, Turki, Malaysia, Indonesia, Nigeria dan
Bangladesh.
Anifah berkata beberapa
negara anggota lain, di dalam ucapan mereka, telah membangkitkan kesedihan
terhadap apa yang berlaku di Gaza.
"Malaysia akan
bangkitkan isu ini nanti dan kita tadi telahpun bersetuju secara tidak formal
untuk berbincang mengenai isu ini," katanya.
Pada sidang kali ini,
Pakistan akan mengambil-alih jawatan pengerusi D-8 dari Nigeria untuk tempoh
dua tahun hingga 2014.
Persidangan kali ini menerima
usul Piagam D-8 dan Visi Global D-8 - dua dokumen penting yang akan menjadi
aspirasi dan wawasan masa depan organisasi itu.
Dalam ucapannya, Anifah
sekali lagi melahirkan isu perdagangan intra D-8 yang masih belum mencapai
sasaran ditetapkan antara 15-20 peratus.
"Jumlah perdagangan
intra D-8 sehingga kini adalah sebanyak 7.5 peratus. Kita harus melihat kembali
kelemahan-kelemahan yang wujud dalam usaha untuk menjadikan D-8 sebagai sebuah
organisasi yang kompetitif.
"Kita harus berusaha
untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan dan kita harus menjadi lebih
kreatif di mana perbankan Islam merupakan salah satu daripada aktiviti yang
harus kita utarakan pada persidangan ini," katanya.
Beliau berkata negara-negara
anggota harus menggunapakai kemudahan perbankan Islam bagi tujuan mendapat dana
pelaburan, melalui penerbitan sukuk, selain daripada sistem perbankan
konvensional. (Bernama)
No comments:
Post a Comment