KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang
Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh,
Kemboja selama dua hari bermula Ahad ini.
Kementerian Luar dalam
kenyataan Sabtu berkata Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah
Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, para pegawai kanan kerajaan serta
agensi yang berkaitan.
Menurut kenyataan itu,
selaras dengan tema sidang kemuncak kali ini iaitu "Satu Komuniti, Satu
Tujuan", adalah penting bagi ASEAN untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif
yang telah dipersetujui berdasarkan Piagam ASEAN dan Pelan Halatuju Komuniti
ASEAN.
Pelaksanaan itu akan
mempercepatkan penubuhan Komuniti ASEAN yang terdiri daripada Komuniti Politik
dan Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio-Budaya.
Pada sidang kemuncak itu,
Ketua-Ketua Negara Asean akan menerima pakai beberapa dokumen penting iaitu
Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN untuk penubuhan ASEAN Regional Mine Action
Center (ARMAC), Deklarasi Bersama Pelancaran Rundingan Perkongsian Komprehensif
Serantau (RCEP) serta Prinsip Panduan dan Objektif untuk Perundingan
Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
Sidang kemuncak itu juga
akan menerima pakai Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN, iaitu satu dokumen
penting yang mencerminkan aspirasi dan komitmen ASEAN untuk perlindungan hak
asasi manusia serta pelancaran ASEAN Institute for Peace and Reconciliation
(AIPR).
Menurut kenyataan itu,
Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang bakal dihadiri Perdana Menteri meliputi
Sidang Kemuncak dengan rakan-rakan dialog ASEAN seperti China, Jepun, Republik
Korea, India dan Amerika Syarikat, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN Campur Tiga
serta Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-7.
Semasa Sidang-Sidang
Kemuncak itu, para memimpin akan menerima pakai Laporan Wawasan Asia Timur
Kumpulan II (EAVG II), Deklarasi Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-7 mengenai
Malaria dan Laporan Tokoh Terkemuka ASEAN-India.
Perdana Menteri juga akan
menghadiri Dialog Global ASEAN yang melibatkan semua pemimpin ASEAN dengan
ketua-ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa
(IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).
Najib juga dijadual akan mengadakan
mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatan beliau semasa Sidang Kemuncak
tersebut. (Bernama)
No comments:
Post a Comment