BEKAS Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama adalah satu tindakan bodoh
dan melampau.
Beliau berkata orang Islam
tidak boleh menukar agama sesuka hati dan orang bukan Islam mempunyai hak untuk
mengamalkan agama masing-masing tanpa ada sebarang paksaan daripada mana-mana
pihak.
"Tak tau lah (Nurul
Izzah) yang mahukan kebebasan dan berpolitik sampai tiada had. Kita orang Islam
mana boleh tukar agama sesuka hati, tapi orang lain nak tukar mereka punya hal
lah.
"Dalam Perlembagaan,
masing-masing boleh amalkan agama mereka tanpa ada sekatan. Orang Islam dengan
cara orang Islam dan kaum lain dengan agama masing-masing," katanya kepada
pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia (WCA) 2012
di Dewan Mahsuri, Padang Mat Sirat, kelmarin.
Dr Mahathir berkata,
walaupun negara ini mempunyai ramai penduduk Islam dan diiktiraf oleh dunia
sebagai negara Islam, ia tidak bermakna orang bukan Islam dipaksa menerima Agama
Persekutuan itu.
Laporan portal berita pro
pembangkang pada 3 November memetik Nurul Izzah sebagai berkata: Rakyat tidak
seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai
kepada orang Melayu.
"Apabila anda bertanya
saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata,
maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia
sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian pada
forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya
pada 3 November 2012. (Bernama)
No comments:
Post a Comment