Oleh : RUZAINI ZULKIFLI
KOTA KINABALU: Usaha
mengesan dalang yang dipercayai terlibat dengan sindiket judi siber di Sabah
akan terus dipertingkatkan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata
satu pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sememangnya telah
ditubuhkan sejak dulu bagi memantau kegiatan terbabit dan setakat ini, pihaknya
masih menjalankan siasatan komprehensif untuk mengesan dalang utama yang
terlibat.
Menurutnya, berikutan
saranan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,
baru-baru ini mengenai perkara itu, polis kontinjen Sabah sememangnya sedang
menangani kegiatan itu secara serius seperti mana yang ditekankan.
“Kita tidak menafikan memang
ada rakyat Sabah yang terlibat dengan kegiatan ini begitu juga di Sarawak dan
sehubungan itu, polis akan terus melakukan pemantauan berterusan.
“Polis Sabah telah
menubuhkan pasukan khas sejak dari dulu lagi untuk memantau dan membanteras
kegiatan ini dari masa ke semasa dan sebagai contoh, kita telah melakukan dua
tangkapan berkenaan judi terbabit di ibu negeri pada malam semalam.
“Ini secara jelas
memperlihatkan polis Sabah menerusi pasukan khas terus melakukan pelbagai usaha
bagi menangani masalah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian
dalam sidang media bersempena Kursus Asas Polis Bantuan Siri 3/2012 di Pusat
Latihan Polis (Pulapol) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah kelmarin.
Sementara itu, Hishammuddin
dalam lawatan kerjanya di Sabah baru-baru ini menyatakan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) tidak pernah menutup siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket judi
siber yang masih beroperasi di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, tindakan itu
dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri
Ismail Omar dan arahan itu dimaklumkan kepada pesuruhjaya polis di dua negeri
terlibat. (UB)
No comments:
Post a Comment