RAMPAS.....Selepas
menahan sebuah jongkong di perairan Pantai Sinakut Sahabat 16, seorang anggota
polis menunjukkan jongkong yang turut dirampas dalam serbuan itu.
LAHAD DATU: Pasukan Polis
Marin Daerah Lahad Datu menahan 11 lelaki pendatang tanpa izin (PTI) warga
Filipina selepas berjaya menahan sebuah jongkong, 54 batu nautika daripada
Bandar Lahad Datu, lewat malam Selasa lalu.
Timbalan Pasukan Polis Marin
Wilayah 4 Sabah, Superitendan Wan Shazali Wan Abd Rahman, berkata berdasarkan
maklumat risikan pada jam 12.30 malam, sepasukan empat anggota yang diketuai
oleh KPL Othman Abdul Rahim yang menjalankan Ops Gelora dengan menggunakan bot
ronda PSC 51 telah berjaya menahan sebuah bot jongkong berukuran 40 kaki
panjang dan 6 kaki lebar di kawasan Pantai Sinakut Sahabat 16.
“Pemeriksaan lanjut ke atas
bot itu mendapati seramai sembilan penumpang berumur 17 hingga 52 tahun bersama
seorang juragan berumur 37 tahun dan seorang awak-awak berusia 15 tahun tidak
memiliki sebarang keterangan diri ke atas semua mereka.
“Pada masa pemeriksaan,
jongkong itu juga didapati sedang dalam proses menurunkan kesemua penumpang di
pantai berhampiran, namun atas tindakan pantas yang diambil oleh anggota
bertugas kesemua mereka kemudiannya berjaya ditahan,” katanya dalam satu sidang
media di bilik mesyuarat PPM, di sini, kelmarin.
Shazali berkata, adalah
dipercayai jongkong serta kesemua penumpang yang ditahan cuba menyusup masuk
dari negara jiran ke kawasan Lahad Datu.
“Kesemua yang ditahan kemudiannya
diserahkan ke Balai Polis Cenderawasi untuk tindakan lanjut, dan kes itu kini
disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sehubungan itu, beliau
berkata orang ramai diharapkan sentiasa membantu pihak polis dalam memaklumkan
atau melaporkan apa juga kegiatan yang berunsur jenayah terutamanya dalam
membendung kemasukan PTI ke negeri ini.
“Seperti kita sedia maklum,
Lahad Datu sememangnya mempunyai kawasan pantai yang luas, maka kegiatan
penyeludupan adalah salah satu kegiatan yang sering berlaku di perairan ini.
“Oleh itu, saya amat
mengharapakan kerjasama daripada orang ramai supaya sentiasa membantu polis
dalam melakukan pencegahan dan membendung kemasukan PTI di daerah ini,”
katanya. (UB)
No comments:
Post a Comment