Oleh : SM MOHAMED IDRIS
GEJALA menghisap shisha yang
semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta
kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius
dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.
Langkah ini perlu diambil
dengan segera memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan
menghisap rokok.
Menurut Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan
yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain.
Penghisap shisha biasanya
menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit
yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.
Mereka yang menghisap rokok
selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima
hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.
Dalam satu laporan oleh
sebuah akhbar tempatan yang memuatkan temubual dengan seorang pengamal
perubatan mengenai bahaya menghisap shisha, dikatakan penghisap shisha turut
boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan
tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan.
Penggunaan arang dalam
peralatan dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah
paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan
si penghisap.
Air didihan yang digunakan
juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi
nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan
berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang.
Sehubungan itu, Persatuan
Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan
penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengeluarkan lesen
perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha.
Tindakan tegas perlu diambil
segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan.
(NOTA : SM MOHAMED IDRIS Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
No comments:
Post a Comment