Wednesday, 15 May 2013

AMK MAHU AZMIN DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN






Oleh : B NANTHA KUMAR

PETALING JAYA : Angkatan Muda Keadilan(AMK) cabang Balik Pulau, Pulau Pinang  meminta pucuk pimpinan parti mengambil tindakan displin terhadap Timbalan Presiden PKR  Azmin Ali kerana mengkritik isu parti secara terbuka.

Dalam satu kenyataan media, Ketuanya, Mohd Faizal Ab Rahman memohon Jawatan Kuasa(JK) Displin mengambil tindakan tegas dan serius terhadap Azmin  yang menurutnya jelas melanggar  displin parti.

Beliau turut menghantar emel sepucuk surat Sabtu lalu kepada Dr Tan Kee Kwong, Pengerusi JK Displin, PKR agar mohon tindakan displin terhadap tokoh muda itu.

“Sebagai pemimpin parti, mengkritik isu parti secara terbuka adalah tindakan yang melanggar displin parti,” kata Faizal.

“Kritikan dan tohmahan Azmin secara terbuka juga telah memburukkan nama baik parti selain menimbulkan polemik negatif dari  sudut ‘hubungan dalaman’ parti,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, Azmin yang memegang jawatan kedua tertinggi di parti, seharusnya lebih peka dalam perihal menjaga nama baik parti dan menjadi contoh kepada ahli serta juga pimpinan parti yang lain untuk selesai sebarang isu berbangkit melalui perbincangan dalaman.

Faizal juga berpendapat bahawa menggunakan pejabat parti untuk  sidang media mengkritik Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah keterlaluan.

Pasca PRU13 menyaksikan PKR berhadapan satu cabaran yang sangat besar bagi mengembalikan hak rakyat yang telah dinafi dalam pilihanraya.

`Bersatu dan setia’

“PKR yang menjadi sandaran kepada rakyat berbilang kaum harus menunjukkan sikap bersatu dan setia terlebih dahulu sebelum menyatukan rakyat bagi menggembleng kekuatan sebenar.”

“Apa yang dilakukan oleh Azmin adalah sangat kontradiksi dengan amalan yang sepatutnya,” kata Faizal.

Pada Jumaat lalu, yang lalu Azmin secara terbuka mengkritik kepimpinan parti ekoran nama beliau tidak dipilih untuk jawatan menteri besar Selangor.

Dalam satu perjumpaan media, Azmin  mendakwa pucuk pimpinan parti mengamalkan nepotisme atau pilih kasih dengan mengetepikan pandangan kepimpinan Selangor dalam menentukan calon menteri besar negeri itu.

Beliau juga mendakwa dr Wan Azizah bertindak menyerahkan surat mencalonkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar tanpa persetujuan PKR  negeri.

Azmin merupakan Pengerusi PKR Selangor.

No comments:

Post a Comment