SOKONGAN....PAKATAN
mendapat sokongan kelas menengah, terutamanya di kawasan bandar, kata Shamsul.
Oleh : BOO SU-LYN
KUALA LUMPUR : Keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah semudah 'Tsunami
Cina' seperti didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak; akan tetapi peralihan besar
pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar
bandar Malaysia semakin luas, kata penganalisis.
Dalam bacaan awal mengenai
trend pengundian, penganalisis menyatakan walaupun terdapat peningkatan dalam
sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat (PR), tsunami politik juga telah
melanda “sebahagian besar daripada Melayu”, ramai di antara mereka adalah
pengundi kelas menengah dan kelas atas.
“Mereka mendapat sokongan
kelas menengah, terutamanya di kawasan bandar,” kata penganalisis politik Datuk
Dr Shamsul Amri Baharuddin kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada PR.
“Jadi, majoriti DAP
meningkat kerana rasa tidak puas hati pengundi muda Melayu.. kesimpulannya,
untuk melabel polarisasi kaum adalah terlalu mudah. Dua lagi faktor beroperasi
secara serentak dengan kaum: kelas (kaya-miskin, kelas menengah) dan spatial
(bandar dan luar bandar),” tambah pengasas dan pengarah Institut Kajian Etnik
(KITA).
Walaupun Barisan Nasional
(BN) yang diketuai Najib berjaya mempertahankan kuasa persekutuan dalam pilihan
raya paling sengit negara, gabungan tersebut kehilangan bandar-bandar besar
dari George Town ke Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan bandar besar di
Johor.
BN gagal untuk menang di
Selangor dan Pulau Pinang – dua negeri perindustrian di Malaysia – walaupun
berjaya merampas kembali Kedah, negeri pedalaman dan jelapang padi itu.
DAP menghancurkan MCA dalam
Pilihan Raya 2013 dengan penasihatnya Lim Kit Siang mengalahkan Pengerusi BN
Johor Datuk Abdul Ghani Othman dengan 14,762 undi di kerusi Parlimen Gelang
Patah, selain merampas Kulai, Kluang dan Bakri di Johor.
Presiden MCA Datuk Seri Dr
Chua Soi Lek mengatakan parti komponen BN itu tidak akan mengambil apa-apa
jawatan kerajaan selepas menang hanya tujuh kerusi Parlimen, kurang separuh
daripada 15 kerusi Parlimen dimenangi dalam Pilihan Raya 2008.
Pengerusi BN Datuk Seri
Najib Razak mengatakan awal pagi Isnin kerajaan baru BN akan memulakan
perdamaian kebangsaan, sebagai usaha-usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia,
selepas apa yang beliau gambarkan senagai “tsunami Cina” dalam pilihan raya
umum ke 13 – menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding
Pilihan Raya 2008.
Penganalisis politik Dr Lim
Teck Ghee walau bagaimanapun, menyatakan PR menang lebih separuh daripada undi
popular, menunjukkan gabungan itu mendapat sokongan “sebahagian besar daripada
Melayu dan pengundi bukan Cina lain”.
“Keputusan di Selangor, yang
mempunyai peratusan besar populasi bandar, termasuk di negeri pantai barat
lain, dengan jelas menunjukkan ini adalah trend kelas menengah bandar,” kata
Lim kepada The Malaysian Insider.
“Sebahagian besar Melayu
termasuk dalam kelas menengah ini – mungkin sebanyak bukan Melayu,” menurut
pemerhatiannya. Pengarah Center for Policy Initiative (CPI) menambah, undi
menentang BN sebahagian besar disebabkan segmen pengundi ini lebih
berpengetahuan dan kurang terpengaruh dengan media arus perdana dan media cetak
mesra BN.
Beliau mengatakan, pengundi
kelas menengah secara umumnya lebih bimbang tentang rasuah, pentadbiran baik
dan isu kos kehidupan dan kurang terpengaruh dengan ketakutan kepada
pembangkang dan sentimen kaum dan agama yang dimainkan BN.
Wong Chin Huat pula
mengatakan, pengundi muda yang mahukan perubahan menyokong PR - melangkaui
batas kaum.
“Pakatan mengatakan mari
cuba sesuatu yang baru – anda boleh beralih dari kategori kaum. Jadi anda
bercakap mengenai persoalan nilai,” kata Wong kepada The Malaysian Insider.
“Pengundi muda yang lebih
yakin dan mahukan perubahan akan bersama Pakatan,” tambah felo Institut Pulau
Pinang itu.
Wartawan veteran Datuk A
Kadir Jasin mengatakan gabungan 13 parti itu bukan sahaja mendapat kurang
kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN)
dalam Pilihan Raya 2013 berbanding 2008, akan tetapi turut kehilangan undi
popular buat pertama kali semenjak 1969.
“Adakah tidak mungkin bahawa
ini bukan tsunami Cina atau cauvinisme kaum, tetapi tsunami Malaysia yang
berpaksikan aspirasi dan realiti baru, khasnya di kalangan pengundi muda?” kata
bekas ketua pengarang kumpulan News Strait Times Press semasa era pentadbiran
Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya yang bertajuk, “Keputusan
PRU13-Tsunami Cina atau Tsunami Malaysia?” semalam.
Terdapat hampir 2.5 juta
pengundi kali pertama daripada 13.3 juta pengundi layak mengundi dalam Pilihan
Raya 2013 yang menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus,
paling tinggi dalam sejarah Malaysia.
BN yang berkempen untuk
menjaga keselamatan dan keamanan, kalah tujuh lagi kerusi Parlimen dan 71
kerusi DUN kepada PR dalam pilihan raya pada Ahad. BN dan PR menang 133 dan 89
kerusi Parlimen, termasuk 275 dan 230 kerusi DUN dalam Pilihan Raya 2013.
Bagi kerusi Parlimen, BN
mendapat 5,237,699 undi berbanding parti Pakatan Rakyat yang mendapat 5,623,984
undi. Gabungan tiga parti PKR, PAS dan DAP juga mendapat lebih banyak undi di
DUN, mendapat 4,879,699 berbanding 4,513,977 undi diterima oleh gabungan 13
parti itu.
No comments:
Post a Comment