Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
Ketua Umum PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata beliau akan menimbangkan mengenai persaraannya daripada
politik selepas menyelesaikan isu penipuan dan penyelewengan yang didakwa
berlaku dalam pilihan raya umum ke-13.
Katanya, beliau memutuskan
demikian kerana beranggapan bahawa perjalanan pilihan raya kali ini telah
"dicuri" daripada rakyat melalui proses penipuan.
"Pendirian saya sama.
Saya ada mendapat tawaran untuk mengajar di beberapa universiti utama. Saya
masih fikir. Tapi saya nak selesaikan penipuan ini. (Ia) belum selesai. Saya
dah menang. Pilihan raya ini sudah dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
"Saya rasa apa yang
perlu diperjelaskan sekarang ini ialah, pilihan raya ini telah dicuri melalui
proses penipuan. Kerana mengikut proses yang biasa dan yang adil, kita sudah
menang. Hampir mustahil (kalah) kalau dilihat dari sambutan yang ada.
Beliau yakin bahawa
kemenangan pilihan raya kali ini telah dicuri memandangkan momentum yang
berlaku dibeberapa kawasan yang beliau kunjungi.
"Orang yang hadir
bertepuk tangan bukan dapat bayaran atau dapat BR1M. Mereka datang dan beri
sokongan dengan penuh perasaan," katanya.
Anwar yang berpakaian serba
hitam sebagai tanda 'perkabungan' ke atas demokrasi hari ini berkata beliau
dapat merasakan bahawa rakyat kecewa dengan keputusan pilihan raya kali ini.
"Saya tahu tentang
sentimen kerana saya telah berkempen dengan bersungguh-sungguh.
"Saya rasa sedih
(dengan keputusan pilihan raya). Saya boleh gambarkan kekecewaan rakyat
berdasarkan ceramah yang saya pergi di seluruh negara," katanya.
Anwar sebelum ini pernah
menyuarakan hasrat untuk meninggalkan dunia politik dan kembali mengajar
sekiranya Pakatan gagal menguasai Putrajaya.
Pada 2006, Anwar pernah
menjadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, mengakui
bahawa beliau sangat menghargai masa bersama keluarga semasa beliau mengajar di
Amerika Syarikat.
"Apabila saya mengajar
di Amerika Syarikat, mereka (keluarga) adalah masa yang terbaik untuk saya
bersama Wan Azizah (Wan Ismail) dan keluarga," katanya.
Dalam temubual itu lagi,
Anwar yang kelihatan letih juga berkata PKR mungkin akan mengemukakan petisyen
pilihan raya berdasarkan keputusan yang mencurigakan di beberapa kerusi.
Katanya, beliau percaya
calon PKR di kerusi Beaufort Datuk Lajim Ukin tewas akibat terdapat sogokan
terhadap pengundi di kawasan itu.
"Saya telah tegaskan
ada isu kesahihan dalam keputusan pilihan raya. Terdapat bukti penipuan yang
jelas. Terdapat kawasan-kawasan yang kita ada bukti. Kita tidak akan menerima
keputusan ini. Kita akan berbuat sesuatu.
"Saya tak percaya Lajim
kalah. Tetapi saya faham tentang Wilfred Bumburing (Tuaran) yang terdapat
perselisihan isu dalaman. Lajim saya percaya ada sogokan dan kami akan terus
mengkaji tentang perkara itu dan akan lihat sama ada ada keperluan untuk
memfailkan petisyen.
"Kita tidak boleh
terima proses ini. Penipuan dah begitu berleluasa. Mungkin salah satu pilihan
raya yang paling teruk pernah kita jalankan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment