BIDAS....Dompok
turut membidas parti pakatan rayat yang lantang mengutuk kerajaan ‘selalu
tidur’ tanpa memeriksa kebenaran fakta yang dibangkitkan.
PENAMPANG : Selepas 14 hari
berkempen, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)
Tan Sri Bernard Giluk Dompok menyatakan keyakinan bahawa kerusi Parlimen
Penampang dan dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) di bawahnya akan kekal
milik Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.
Beliau berkata keyakinan itu
berasaskan kepada sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat setelah
melihat bukti pembangunan yang telah dan sedang dirancang oleh kerajaan untuk
dilaksanakan pada masa hadapan.
“Selain itu, kempen parti
untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat juga berjalan lancar,
sekaligus meningkatkan sokongan kepada semua calon BN di sini,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Penampang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua
Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
Amir Md Noor, calon BN bagi DUN Kepayan Datuk Edward Khoo Keok Hai dan DUN
Moyog Datuk Philip Lasimbang. Kepayan dan Moyog terletak di bawah Parlimen
Penampang.
Kolej Komuniti Penampang
akan mula beroperasi pada Julai ini di Wisma Malakun, di sini dengan menawarkan
kursus sepenuh masa perakaunan dan kursus pendek hujung minggu sebagai
permulaan.
Selain itu, Dompok yang
merupakan calon BN bagi Parlimen Penampang turut membidas parti pakatan rayat
yang lantang mengutuk kerajaan ‘selalu tidur’ tanpa memeriksa kebenaran fakta
yang dibangkitkan.
“Contohnya, mereka kata saya
tidur selama 28 tahun di sini (Penampang), tidak melakukan apa-apa. Tapi mereka
lupa saya adalah Anggota Parlimen di Ranau selama dua penggal sebelum datang ke
sini.
“Sejak empat tahun lalu,
saya membuat kerja dan jelas kelihatan pelbagai projek melibatkan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA), jalan raya dari Donggongon ke Papar dan
Beaufort serta menyelesaikan masalah bekalan elektrik di kawasan pendalaman,”
katanya.
Selain itu, Dompok berkata,
penubuhan Kolej Komuniti itu mendahului manifesto yang diuar-uarkan calon Parti
Maju Sabah (SAPP) bagi DUN Moyog Danim @ Aloysius Siap untuk mewujudkan kolej
seumpama itu jika mendapat kepercayaan rakyat.
“Ini yang kita katakan,
belum berjanji sudah beri...,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai.
Pada PRU13, Dompok yang
mempertahankan kerusi Parlimen Penampang ditentang calon PKR Ignatius Dorell
Leiking dan calon Parti Reformasi Sabah (STAR) Melanie Annol.
Pada 2008, Dompok yang juga
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti menang dengan majoriti 3,063. (Bernama)
No comments:
Post a Comment