KUALA LUMPUR : Polis memberi
amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik laman sosial yang cuba
mencetuskan provokasi perkauman selepas pilihan raya umum ke-13.
Menyifatkan perbuatan itu
boleh mengancam kestabilan negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
berkata provokasi sedemikian boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara.
Polis akan menahan mereka
yang disyaki menyebar hasutan sedemikian, katanya pada sidang media di Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata polis juga
akan mengambil tindakan terhadap pemilik laman sosial yang cuba membangkit
kemarahan penyokong parti politik, termasuk menyebar dakwaan kononnya wujud
pengundi hantu serta bekalan elektrik terputus ketika penjumlahan undi di
Bentong, Pahang Ahad lepas.
"Bila kita siasat,
tiada bekalan elektrik terputus seperti yang diuar-uarkan di laman sosial
seperti di pusat penjumlahan undi di Bentong, tindakan ini tidak ubah seperti
provokasi bagi menaikkan kemarahan penyokong," katanya.
Berhubung dakwaan pekerja
asing dipukul serta bas mereka dirosakkan ketika dalam perjalanan ke tempat
kerja, Ismail berkata pihaknya kini memburu pihak yang bertanggungjawab dalam
insiden itu untuk dibawa ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, beliau
menyelar segelintir pihak yang mengaitkan kononnya polis terlibat dalam membawa
pengundi hantu pada hari pengundian.
Ismail berkata ini merupakan
tuduhan tidak berasas dan bertujuan memburukkan imej polis di mata masyarakat.
"Tuduhan ini amat tidak
munasabah, mereka tunjuk gambar di laman sosial, gambar trak polis sahaja...
kemudian tuduh polis bawa pengundi hantu, tuduhan ini tidak berasas sama
sekali," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment